suria

Suami kelar isteri hingga maut tiba-tiba bertakbir, laung kalimah syahadah ketika direman di mahkamah

Suspek yang disyaki mengelar isterinya hingga maut direman selama tujuh hari.

SEORANG penganggur yang disyaki mengelar isterinya sehingga maut dalam kejadian di sebuah rumah di Tangkak, Johor, Isnin lalu, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman terhadap suspek berusia 33 tahun itu dikeluarkan Majistret Lee Kim Keat bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 kanun sama atas kesalahan melakukan khianat dengan api, lapor Sinar Harian.  

ARTIKEL BERKAITAN: Perkahwinan 36 tahun berakhir, warga emas bunuh isteri kerana masalah kewangan

Suspek yang dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak bagi permohonan reman pada pagi Rabu, dikatakan secara tiba-tiba meraung, melaungkan takbir dan dua kalimah syahadah dengan suara yang kuat ketika berada dalam lokap mahkamah berkenaan.

Selesai urusan permohonan reman, suspek dibawa semula menaiki trak polis untuk siasatan lanjut.

Terdahulu media melaporkan seorang lelaki dipercayai mengelar isterinya sehingga mati dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir, Tangkak pada petang Isnin lalu. 

Sejurus membunuh isterinya, suspek kemudian menuju ke rumah mentuanya yang terletak di Pagoh, sebelum cuba membakar kediaman mereka.

Bagaimanapun perbuatannya disedari dan suspek hanya sempat membakar beberapa kenderaan yang berada di bahagian luar rumah.

Suspek dilaporkan bertindak pulang ke kediamannya di Bukit Gambir sebelum berjaya diberkas polis. 

 

Artikel Lain