suria

SPRM sita RM143 juta aset mewah Tan Sri terlibat kes penyelewengan dana sukuk lebuh raya

SPRM kini giat menjalankan siasatan dakwaan kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya yang dipercayai milik seorang pemegang konsesi bergelar Tan Sri. -Gambar hiasan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti jumlah sitaan membabitkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang dipercayai milik seorang pemegang konsesi bergelar Tan Sri, bernilai kira-kira RM143 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, aset yang disita sepanjang operasi sejak minggu lalu itu melibatkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta, lapan akaun syarikat berjumlah RM33 juta, kondominium mewah dan sebidang tanah bernilai RM24.5 juta, sembilan unit kereta berjumlah RM7.65 juta, jam tangan mewah bernilai kira-kira RM25 juta.

Selain itu turut disita adalah tas tangan bernilai RM3 juta, barang kemas serta berlian bernilai RM6 juta, empat ekor kuda bernilai RM400,000, minuman beralkohol bernilai kira-kira RM3 juta, aset luar negara yang dinilai lebih daripada RM15 juta serta ⁠aktiviti perjudian yang dianggarkan RM20 juta.

Azam juga menambah sebanyak 13 buah kereta masih belum diserahkan kepada pasukan siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM sita wang tunai RM170 juta, jongkong emas RM7 juta… Ada kaitan siasatan kes rasuah babitkan Ismail Sabri

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di antara tahun 2016 hingga 2020 di mana dana sukuk yang diluluskan berjumlah kira-kira RM1.35 billion melibatkan penyelewengan tuntutan palsu yang bernilai kira-kira RM360 juta dan RM416 juta serta pinjaman fasiliti bank lain sebanyak RM50 juta.

"Projek lebuh raya yang bernilai RM1.67 billion ini juga gagal disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan dan siasatan juga menumpukan isu rasuah bernilai RM12 juta yang dibayar kepada pihak tertentu sebagai balasan membantu membuat pengaliran wang keluar dan dikembalikan semula kepada suspek," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Selasa malam.

Ujarnya, bagi menyeleweng dana-dana berkenaan, pihak-pihak terlibat dipercayai turut menggunakan golongan profesional seperti juruaudit, pakar kewangan, jurutera serta syarikat-syarikat yang bertindak sebagai penerima wang secara berlapis (layering).

Malah hasil tuntutan dana yang diseleweng itu dipercayai turut digunakan dalam aktiviti penggubahan wang haram, tambah Azam.

"Sehingga kini, SPRM belum mengambil keterangan Tan Sri itu kerana beliau masih berada di wad di sebuah hospital swasta. Pegawai siasatan akan mendapatkan pengesahan daripada doktor berkaitan status kesihatan Tan Sri terbabit sebelum dirakamkan keterangannya.

"Sementara itu, jumlah saksi memberi keterangan sehingga hari ini masih kekal dengan 45 orang dan saksi-saksi yang diambil keterangan sebelum ini dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, Azam berkata pasukan siasatan juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah Tan Sri berkenaan di dalam serta luar negara termasuk di London dan Switzerland, selain siasatan kini turut tertumpu kepada nilai sebenar minuman alkohol mewah dalam simpanannya dengan kemungkinan wang berkenaan telah dipindahkan ke akaun-akaun lain.

Katanya lagi, notis pengisytiharan harta telah diserahkan kepada Tan Sri terbabit serta pihak yang berkaitan. 

 

Artikel Lain