suria

Silap lempang pelajar makan roti tanpa kebenaran, warden pusat tahfiz didenda RM1,200

Tertuduh (kiri) berdepan hukuman denda akibat kesalahan menampar pelajarnya.

AKIBAT menampar seorang pelajar lelaki, warden sebuah pusat tahfiz didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu pada Selasa.

Tertuduh, Mohd Norzaizhul Zainudin, 41, mengaku bersalah di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.

Memetik Sinar Harian, Norzaizhul dengan sengaja mencederakan pelajar berusia 16 tahun dengan menampar kedua-dua belah pipi mangsa.

Kejadian dilaporkan berlaku di asrama pusat tahfiz berkenaan sekitar pukul 3.45 petang pada 26 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi manakala tertuduh diwakili peguam bela, Masliela Ismail.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pada 19 Mei, media melaporkan pelajar terbabit mendakwa ditampar warden selepas memakan roti yang disediakan untuk sarapan keesokan hari tanpa kebenaran.

Difahamkan, tindakan itu mencetuskan kemarahan warden berkenaan sehingga berlaku insiden tersebut.

Artikel Lain