TIGA adik beradik perempuan selamat diijab kabul dengan pasangan masing-masing dalam satu majlis sama yang diadakan pada 25 Mei lalu.
Selain melangsungkan perkahwinan secara serentak, majlis ini begitu unik apabila tiga pengantin lelaki juga adalah adik-beradik.
Majlis pernikahan yang berlangsung di sebuah masjid di Kinabatangan, Sabah ini mendapat perhatian selepas salah seorang pengantin perempuan, Cvtie Lulu, berkongsi momen indah mereka di media sosial.
Menurut Cvtie yang menceritakan kisah perkahwinan mereka mewakili yang lain, pernikahan unik ini berlaku secara tidak dirancang.
"Kami terkenan (suka antara satu sama lain) bukan dijodohkan. Kami tak rancang nak berbiras dengan adik beradik sendiri.
"Kami juga bukan sepupu. Kami tak ada pertalian darah langsung," jelas Cvtie menjawab beberapa soalan di ruangan komen.
Satu lagi perkara menarik mengenai perkahwinan mereka ini adalah dari segi susunan jodoh masing-masing.
Jelas Cvtie yang berusia 21 tahun, dia selaku anak sulung berkahwin dengan suami berumur 22 tahun yang merupakan anak bongsu dalam keluarga.
Manakala anak kedua dan ketiga pula berkahwin dengan pasangan lelaki yang sepadan dengan urutan adik beradik masing-masing.
Menurutnya lagi, dia dapat mengagak suasana hari raya dan kehidupan keluarga mereka juga akan menjadi lebih meriah dan mudah dengan perkahwinan ini.
"Dari kecil (adik-beradik) kongsi sama-sama sampai mak mentua pun kami kongsi juga.
"Kalau balik rumah mentua (beraya) kami bawa sekali mak ayah, tak tinggal.
"Kami rancang nak mengandung hari yang sama juga," ujarnya berseloroh membalas komen netizen.
Dalam pada itu, rata-rata warga maya turut mendoakan kesejahteraan ketiga-tiga pengantin ini.
"Balik kampung beraya nanti ada kawan.
"Mak ayah dia dapat satu (seorang) je besan.
"Nak rasa dengki dengan biras pun tak jadi sebab adik beradik sendiri," komen beberapa warga maya.


