DOKTOR kelahiran Malaysia yang kini berkhidmat di London, United Kingdom (UK), Dr Amalina Che Bakri berkongsi berita gembira menimang cahaya mata kedua.
Menerusi hantaran Instagram pada Isnin malam, Dr Amalina memaklumkan bayi yang baru dilahirkan itu diberi nama Aurora.
"Dari tiga sekeluarga kini menjadi empat. Kenali cinta baru dalam hidup kami, Aurora.
"Arabella sangat teruja menjadi kakak. Alhamdulillah," kata Dr Amalina.
Berdasarkan perkongsian itu, Dr Amalina menandakan Hospital St. Thomas di London sebagai lokasi dipercayai tempat kelahiran Aurora.
Dr Amalina turut memuat naik empat keping gambar bersama bayinya termasuk gambar suaminya, Alexander Charles dan puteri sulung, Arabella Mia.
Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004 itu bernikah dengan Alexander Charles, pada 31 Mac 2021, di London Central Mosque.
Setahun kemudian, pada Oktober 2022 dia selamat melahirkan anak sulungnya juga di Hospital St. Thomas.


