suria

“Tangisan Ismanira konsisten dengan kelakuan orang tak bersalah” - Pasukan pembelaan kes Zayn Rayyan

Arwah Zayn Rayyan ditemukan kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

TANGISAN Ismanira Abdul Manaf ketika mayat anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin ditemukan di aliran anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai adalah 'bukti' kelakuan seseorang yang tidak bersalah.

Perkara itu menjadi hujahan bertulis pasukan pembelaannya daripada Tetuan Haresh Mahadevan & Co. yang difailkan pada 23 Mei lalu.

“Hasil keterangan saksi pendakwaan keempat (SP4), mengesahkan Ismanira menangis ketika mayat ditemukan pada 6 Disember 2023.

"Dalam keterangan itu, Ismanira berusaha mencari anaknya di beberapa lokasi namun mangsa tidak berjaya ditemukan.

"Laporan polis dibuat sehari sebelum (penemuan) itu,” kata hujahan bertulis tersebut seperti yang diperoleh pihak media.

Keterangan itu turut disokong oleh SP16 yang melihat Ismanira aktif mencari Zayn Rayyan dari dua arah berlainan dalam keadaan berpeluh-peluh.

“Kami percaya pihak pembelaan telah menimbulkan banyak keraguan dalam kes pendakwaan. 

"Justeru pihak pembelaan dengan rendah diri memohon kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri,” demikian menurut hujahan bertulis setebal 127 muka surat itu.

Dalam pada itu, pihak pembelaan turut menegaskan tiada elemen pengabaian dilakukan ibu dan bapa mangsa, Zaim Ikhwan Zahari, seperti mana yang dipertuduhkan.

Ia berikutan, Ismanira sentiasa peka terhadap anak autistiknya dengan menggunakan deria pendengaran sebagai bentuk pengawasan yang sesuai bagi keperluan kanak-kanak tersebut.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan 21 Julai ini bagi keputusan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu dua tahun lalu.

Keputusan sama ada kedua-dua mereka dilepas atau dipanggil membela diri diakhir kes pendakwaan akan ditentukan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Ia dibuat selepas Yang Ariff selesai mendengar keterangan 28 saksi sepanjang 20 hari prosiding berlangsung.

Artikel Lain