suria

Ojen Aiwah mengamuk dakwa ditipu ‘personal shopper’ lebih RM200,000

Ojen membuat laporan polis selepas ditipu oleh personal shopper berkenaan.

USAHAWAN dan personaliti media sosial, Ojen Aiwah mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan berjumlah RM246,611 oleh seorang wanita yang menawarkan khidmat sebagai ‘personal shopper’ bagi perniagaan kunafah miliknya.

Menurut Ojen atau nama sebenarnya Mohd Ruzain Ahda Mohd Rosli, 29, wanita berusia 35 tahun berasal dari Sabah itu dipercayai menggunakan taktik licik dengan menghantar lebih 200 resit pembayaran palsu bagi membuat tempahan.

"Saya telah di’scammed’ oleh seorang yang membuat khidmat PS (personal shopper) Kunafah Aiwah sebanyak hampir suku juta ringgit," katanya.

Jelasnya, resit yang digunakan oleh wanita terbabit kelihatan seperti resit asli termasuk dari segi tarikh, masa dan jumlah pembelian.

Tambahnya lagi, tindakan wanita itu menyukarkan pihaknya mengesan penipuan yang berlaku sejak lapan bulan lalu.

"Setakat hari ni wanita ini telah ‘scammed’ menggunakan resit palsu, salah laku menukar dan mengedit resit palsu (CIMB dan Maybank). Scam melalui transaksi bukan QRPay (imbasan kod QR).

"Wanita ini terlalu licik dan bijak. Rupa-rupanya dia adalah bekas seorang banker di salah satu bank (BSN) di Sabah (sudah dibuang)," dakwanya.

Dalam video yang dimuat naik, kelihatan Ojen menengking individu tersebut memintanya melunaskan bayaran dengan kadar segera.

Ojen berasa kecewa dengan kejadian itu kerana usaha kerasnya bersama staf dalam mengusahakan perniagaan makanan tersebut dirasakan sia-sia.

Tambahnya, dia tidak berhasrat untuk membiarkan kes tersebut begitu sahaja dan akan memastikan wanita itu dibawa ke muka pengadilan.

"Terus terang semalam saya dah hilang sabar sebab saya dan staf penat berniaga, nak patah tulang belakang bakar kunafah.

"Namun saya pasti Allah akan bantu, Allah akan bagi lebih lagi, ada hikmahnya. Tapi saya tidak akan lepaskan wanita ini sewenang-wenangnya. 

"Saya akan pastikan dia meringkuk dalam penjara. Tidak dapat lagi meneruskan modus operandi. Saya tak nak peniaga atau lebih ramai orang terkena nasib sama," tegasnya.

Menurut Ojen, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat berhubung kes ini.

Difahamkan, wanita tersebut telah membayar sebanyak RM69,300 setakat ini namun bagi Ojen, wang bukan lagi keutamaan.

"Saya ada minta izin dan nasihat daripada pegawai polis adakah saya boleh viralkan muka dia? Jawapannya, ‘silakan sangat boleh, lagi-lagi ini kes melibatkan diri sendiri bukan orang lain’.

"Tapi hari ni saya masih baik lagi ‘censored’ muka dia. Saya tunggu dia bayar duit saya sedikit pada hari Selasa ini berjumlah RM64,000. Kalau tak dapat, saya teruskan viralkan muka pula.

"Sekarang saya dah tak hairan fasal duit dah. Yang penting saya nak dia ke lokap dan kena bagi pengajaran. Kalau saya tak ambil tindakan, berapa ramai lagi yang akan jadi mangsa,” ujarnya.

Sehingga kini video tersebut meraih lebih 1 juta jumlah tontonan selepas dimuat naik pada Jumaat malam.

Artikel Lain