suria

Tak cukup hempas ke meja, cikgu tadika swasta tikam kepala murid dengan pen! Bapa menangis, menggigil tengok rakaman CCTV

Penderaan akan meninggal kesan trauma kepada mangsa. -Gambar hiasan

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia enam tahun didakwa mengalami kecederaan serius di kepala selepas dihempas ke meja dan ditikam dengan pen oleh seorang guru sebuah tadika swasta.

Perkara mengejutkan itu didedahkan seorang guru dan aktivis kemanusiaan, Fadli Salleh menerusi satu hantaran di Facebook pada awal pagi Jumaat.

Menurut Fadli, kejadian tersebut menyebabkan mangsa mengalami trauma yang mendalam sehingga takut untuk melalui kawasan sekolah.

“Pukul 2 pagi baru pulang dari IPD Gombak. Teman kawan buat laporan polis tentang kes cikgu hempas anak dia ke meja kemudian tikam kepala dengan pen.

"Tujuh tusukan kat kepala. Budak tu sampai trauma. Lalu depan sekolah je budak tu kata... mama, tutup cermin. Kakak takut,” katanya.

Tambah Fadli, bapa mangsa dilaporkan menangis dan menggigil selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan situasi anaknya diperlakukan dengan kejam.

Difahamkan, keluarga mangsa membawa kanak-kanak berkenaan ke sebuah klinik swasta dan sebuah hospital kerajaan di Selangor untuk mendapatkan rawatan.

Namun dikatakan, laporan perubatan dari hospital kerajaan hanya akan diperoleh selepas seminggu kerana tiada laporan polis ketika itu.

“Jadi malam ini, ayah mangsa terus ke Hospital Selayang untuk dapatkan laporan perubatan segera,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Fadli turut menyuarakan kekecewaan terhadap sikap segelintir individu yang tidak layak bergelar pendidik tetapi tetap memilih kerjaya sebagai guru.

"Ni buka kes sekolah kebangsaan tapi sekolah swasta. Jangan la mohon jadi cikgu kalau jenis baran dan tak suka budak-budak.

"Tolong jangan mohon jadi cikgu swasta ke, pembantu prasekolah atau pengasuh. Jadi cikgu ni kena ada jiwa. 

"Kalian berhubung dengan manusia kecil yang akal mereka belum sempurna. Sedih dengar kes begini kejam boleh berlaku," katanya.

Pendedahan berkenaan mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen yang rata-ratanya menuntut tindakan tegas diambil terhadap guru terbabit.

"Semoga pelaku tidak akan dibenarkan sama sekali mendekati mana-mana tadika, pusat asuhan atau sekolah untuk sepanjang hayatnya.

"Cikgunya ada masalah mental ke? Marah macam mana pun kita tak akan tergamak nak tikam kepala budak dengan pen. 

"Umur budak enam tahun. Apa yang cikgu harapkan, Allahuakbar," komen beberapa netizen.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa atau sekolah mengenai kejadian yang didakwa tersebut.

Artikel Lain