suria

Rogol wanita baru alami keguguran, Long Tiger dipenjara 12 tahun dan 5 sebatan

Long Tiger dibawa pegawai penjara selepas perintah hukuman dikeluarkan. -Foto Bernama

PEMUDA etnik Rohingya dikenali sebagai 'Long Tiger' dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan selepas didapati bersalah merogol isteri orang empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat di Mahkamah Sesyen Muar pada Jumaat.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Irwan Suainbon terhadap Abdul Hamim Ab Hamid, 36, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Irwan berkata, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh lebih bersifat penafian semata-mata dan tidak dapat menyangkal kes prima facie pihak pendakwaan.

“Selepas mendengar hujahan lisan dan bertulis difailkan kedua-dua pihak, mahkamah dalam kes ini memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Selain itu, mahkamah mendapati keterangan isteri tertuduh yang juga saksi pembelaan ke-11 lebih kepada rekaan semata-mata dan tidak boleh dipercayai,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol wanita berusia 19 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Jaya, Bukit Gambir, Tangkak antara pukul 1 tengah hari dan 2.05 petang pada 26 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Arif Marzuki mencadangkan mahkamah mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan tertuduh sangat serius hingga meninggalkan trauma.

“Lebih menjijikkan apabila tertuduh merogol mangsa yang baru beberapa hari mengalami keguguran. Mangsa adalah pekerjanya hingga sanggup diperlakukan sedemikian,” tegas beliau.

Hakim memutuskan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 7 Ogos 2021.

Long Tiger kini sedang menjalani hukuman penjara empat tahun selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Majistret Tangkak.

Pada 20 Jan 2022, bapa dua anak itu dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh mahkamah sama kerana melarikan diri daripada tahanan pada 11.55 pagi 15 Disember 2021.

Mahkamah Tinggi Muar pada 1 Jun 2022 membatalkan perintah melepas tanpa membebaskan Long Tiger oleh Mahkamah Majistret Tangkak pada 17 Mei tahun sama, selepas mendapati timbul kekhilafan ketika perintah itu dikeluarkan atas tuduhan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Artikel Lain