SEORANG guru wanita dan individu lelaki dikenali sebagai ‘abang wiring’ didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, atas pertuduhan cuba melakukan zina.
Perintah tersebut dibuat Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin terhadap kedua-dua tertuduh, Nur Fadilah Zainal dan Muhammad Hairul Ezuan Hamzah, masing-masing berusia 31 tahun.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati melakukan perbuatan percubaan persetubuhan haram dengan individu yang bukan isteri atau suami yang sah di sisi syarak.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Emas, Sungai Petai, dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 9 malam, 28 Februari lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu perempuan terlanjur dengan abang servis ‘wiring’, perbualan 18SX jatuh ke tangan isteri! - “Bagi saya peluang”
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Abang wiring’ akhirnya muncul, bakal beri penjelasan - "Ini ujian untuk diri saya"
Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atraz Mohamad Zin, dibantu Pendakwa Syarie Radzwan Abdullah.
Terdahulu dalam prosiding, lelaki tersebut menyatakan kesediaannya untuk bertanggungjawab ke atas wanita terbabit yang merupakan ibu tunggal.
Muhammad Hairul Ezuan, yang juga bapa kepada tiga anak, menyatakan bahawa dia menyesali perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama.
Sementara itu, Nur Fadilah Zainal memohon agar dikenakan denda yang rendah memandangkan dia menanggung sepenuhnya perbelanjaan anak tunggalnya yang berusia empat tahun, selain turut menyara ibu bapa di kampung.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menetapkan denda RM5,000 setiap seorang atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar.
Terdahulu, warga maya dikejutkan dengan satu pembongkaran kisah cinta terlarang antara guru wanita dan seorang lelaki yang menjalankan perkhidmatan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pendawaian elektrik (wiring) di rumah.
Ia berikutan, selain dakwaan menyatakan rumah tangga 'disondol', individu tersebut turut mendedahkan beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp antara guru terbabit dan lelaki bergelar suami orang itu.


