SELEPAS mengaku bersalah atas pertuduhan cuba melakukan persetubuhan haram dengan ‘Abang Wiring’, Cikgu Fadilah tampil membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati apabila mendapati video seksnya tersebar.
Laporan berkenaan dibuat pada 24 Mei lalu.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah menyatakan pasukannya membuka siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang.
“Cikgu Fadilah tidak berpuas hati apabila mendapati video seks dirinya tersebar selain polis turut membuka siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM).
“Bagaimanapun, kita belum dapat menjejaki video seks berkenaan kerana dipercayai telah dipadam dari telefon bimbit berkenaan,” katanya pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Abang wiring’, cikgu perempuan mengaku cuba berzina… Gagal dapat ‘diskaun’ denda RM5,000
Mengulas lanjut, Ashari berkata, kes tersebut akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
Pada 30 Mei, ‘Abang Wiring’ atau juruelektrik, Muhammad Hairul Ezuan Hamzah dan guru sekolah menengah di Melaka, Nur Fadilah Zainal, masing-masing berusia 31 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan melakukan persetubuhan haram di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka.
Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin menjatuhi hukuman masing-masing didenda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda di bawah Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Seksyen itu memperuntukkan kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Hairul Ezuan dan Nur Fadilah didapati telah melakukan perbuatan percubaan persetubuhan haram dengan yang bukan isteri atau suaminya yang sah di sisi syarak.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Emas, Sungai Petai dalam daerah Alor Gajah, kira-kira pukul 9 malam, 28 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atras Mohamad Zin dibantu pendakwa syarie Radzwan Abdullah.


