POLIS sedang mengesan dua pengguna jalan raya yang melakukan aksi bersilat dan kung fu di Lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Plaza Tol Bukit Tambun arah Selatan, Pulau Pinang pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou, berkata usaha mengesan dua suspek lelaki yang tular di media sosial itu giat dijalankan bagi siasatan lanjut.
Katanya, insiden pukul 5.15 petang itu membabitkan dua kereta yang dilanggar dari belakang sehingga membawa pertengkaran dan kerosakan harta benda.
Selain itu wujud dakwaan serangan fizikal dan ugutan jenayah oleh salah seorang individu terbabit.
"Video kejadian yang dirakam melalui kamera papan pemuka (dashcam) tular di media sosial dan menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai.
"Usaha mengesan suspek sedang dijalankan secara aktif oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan," katanya menerusi kenyataan.
Siowou berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugut jenayah.
Pada Sabtu, tular di media sosial video berdurasi 28 saat memaparkan perselisihan faham antara dua lelaki di plaza tol.
Seorang lelaki yang memandu kereta Perodua Bezza dilihat hanya berkain pelikat tidak memakai baju mengeluarkan senjata sambil menunjukkan aksi bersilat.
Seorang lagi lelaki yang memandu kereta Honda cuba membalas dengan tumbukan dengan warga maya mengatakan ia aksi kung fu.
Pergaduhan tanpa sebarang kecederaan itu bagaimanapun terkawal selepas seorang pengguna jalan raya mententeramkan keadaan.


