suria

Kecoh adegan tolak menolak, tarik baju... Warga asing rampas duit, cabut lari naik Proton X50

Tangkap layar video yang tular di media sosial.

POLIS menggesa mana-mana individu terlibat dalam insiden pertengkaran dengan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing di sebuah stesen minyak dekat Jalan Seremban - Kuala Pilah di Negeri Sembilan, untuk tampil membantu siasatan.

Insiden itu tular selepas video berdurasi 41 saat dimuat naik di media sosial, memaparkan situasi kecih melibatkan seorang lelaki tempatan dan beberapa individu lain berhampiran sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis pikap.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Muhd Amrul Yazid Anuar berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.

"Hingga kini, tiada laporan polis yang diterima berhubung kejadian ini. Sekiranya berlaku kejadian jenayah, individu yang terbabit dalam kejadian ini diminta tampil membuat laporan.

"Polis juga tidak pasti kejadian yang berlaku kerana video hanya dirakam di hujung kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Berdasarkan video tular, seorang lelaki dipercayai pemandu kenderaan pikap kelihatan bertengkar dengan seorang lelaki lain sebelum berlaku aksi tolak-menolak dan menarik baju.

Situasi menjadi kecoh apabila warga asing itu dilihat melarikan diri ke arah sebuah Proton X50 dengan but belakang yang terbuka sebelum kenderaan itu terus beredar dari lokasi.

Menerusi kapsyen video, pemandu pikap mendakwa wang miliknya dirampas oleh sekumpulan lelaki yang menaiki SUV berkenaan.

Difahamkan, kenderaan Proton X50 itu juga dilihat memandu melawan arus sebelum dikejar sebuah lagi kenderaan jenis Mitsubishi Triton.

Polis kini sedang mengesan individu-individu yang terbabit untuk tindakan lanjut.

Artikel Lain