suria

Gadis 14 tahun 'merempit' dari Tumpat ke Kulim demi jumpa 'abang buruh', dirogol selepas tiba di destinasi

Datuk Yusoff Mamat berkongsi mengenai jenayah yang berlaku di Kelantan.

BARU berusia 14 tahun, namun seorang remaja perempuan dari Tumpat, Kelantan sudah berani merentas negeri bagi bertemu kekasih hati di Kulim, Kedah.

Lebih mengejutkan apabila dia baru sahaja mengenali lelaki berusia awal 30-an itu di media sosial.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, kejadian pada Mac lalu itu menyebabkan remaja terbabit dirogol oleh suspek.

"Mangsa bersama rakan perempuan sebayanya menunggang motosikal dari Tumpat sebelum motosikal mereka mengalami kerosakan di kawasan Gerik, Perak.

“Kedua-duanya menahan kereta orang awam untuk meneruskan perjalanan ke Kulim dan mangsa bertemu lelaki terbabit yang berusia lebih 30 tahun serta bekerja sebagai buruh.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke satu lokasi di Kulim dan dirogol,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Libat Urus Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan” di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pada Selasa.

Tambah Mohd Yusoff, sebelum ini, ibu bapa kepada kedua-dua gadis terbabit membuat laporan polis selepas menyedari anak mereka telah hilang selama empat hari.

“Selepas siasatan dijalankan, remaja terbabit dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan disahkan dirogol.

“Sehubungan itu suspek ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel Lain