suria

Ugut bunuh, kurung, belasah pemuda hingga lunyai... Bella, 7 rakan tukar pengakuan tidak bersalah

Bella dan tujuh individu menukar pertuduhan kepada tidak bersalah.

LAPAN individu termasuk seorang wanita dikenali sebagai Bella menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas empat pertuduhan termasuk mengugut bunuh, memukul serta pemerasan terhadap seorang lelaki, April lalu.

Tertuduh, Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman atau Bella, 22, bersama tujuh lagi individu mengaku tidak bersalah selepas empat pertuduhan dibacakan semula terhadap mereka di hadapan Majistret A Shaarmini dan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid di Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Tujuh lelaki yang terlibat dalam kes ini ialah Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 25; Ahmad Rushdi Jumadi, 23; Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25; Muhammad Haikal Zulkarnain, 19; Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 23; Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 20 dan Syamsul Hamiziey Saiful Razali, 19.

Bagi pertuduhan pertama, kesemua tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Muhammad Faris Syahmi Mohd Ridzwan, 22, bahawa mereka tidak akan berhenti memukul sehingga dia membayar wang RM3,000.

Ekoran itu, mangsa terdorong untuk menyerahkan wang RM650 dan kunci motosikal Yamaha Y16 kepada tertuduh, Mohammad Amierul Hakim.

Bagi pertuduhan kedua pula, tujuh individu kecuali Bella didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Muhammad Faris Syahmi, dengan seorang lagi masih bebas.

Bagi pertuduhan ketiga pula, kesemua tertuduh serta dua lagi yang masih bebas, mengaku tidak bersalah atas dakwaan secara bersama-sama mengurung mangsa.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid pula, lapan individu berkenaan menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas pertuduhan keempat iaitu bersama-sama menakutkan secara jenayah terhadap Muhammad Faris Syahmi dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.

Kesemua kesalahan berkenaan dilakukan mereka di sebuah pangsapuri di Plentong, Masai, antara pukul 10 malam hingga 4 pagi, pada 18 hingga 19 April lalu.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506; Seksyen 384 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan

Pertuduhan keempat pula, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam dan Nik Noraini Nik Azman.

Peguam Nurul Nadia Yunos mewakili tertuduh ketujuh, Syamsul Hamiziey; tertuduh kelima, Mohamad Amierul Hakim diwakili T Haressh, manakala tertuduh pertama dan kedua, Muhammad Aqmal Hafifi dan Ahmad Rushdi Jumadi pula diwakili Khairulazwad Sariman dan Syahmi Nawawi.

Bella serta Muhammad Nur Shafiq; Muhammad Haikal; Mohamad Danish Hakim dan Syamsul Hamiziey pula tidak diwakili peguam.

Kesemua tertuduh dan keempat-empat kes berkenaan juga diperintahkan untuk dibicarakan bersama, pada Selasa.

Timbalan Pendakwa Raya kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Majistret Nur Fatin membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 18 Julai depan bagi tertuduh yang masih tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut memerintahkan jaminan ke atas tertuduh diteruskan dengan ketetapan prosiding terdahulu.

Pada 25 April lalu, Bella dan tujuh lelaki dilaporkan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas empat pertuduhan termasuk melakukan ugutan jenayah dengan mengeluarkan ugutan bunuh, serangan berkumpulan dan mengurung seorang lelaki secara salah, minggu sebelumnya.

Kesemua mereka ditahan selepas video menunjukkan seorang lelaki 'lunyai' akibat dipukul sekumpulan lelaki tular sehingga mencetuskan kemarahan ramai.

Perbuatan itu dikatakan dilakukan di sebuah rumah di Blok J, Pangsapuri Daisi, Jalan Bunga Daisi, Plentong, Masai, antara pukul 10 malam.

Artikel Lain