SEJAK Rabu, kecoh di media sosial satu klip video memaparkan pasangan suami isteri bergaduh di sebuah pasar raya sehingga terbalik troli berisi pelbagai barangan termasuk makanan.
Ternyata video tersebut mengundang rasa marah netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan si suami kerana bersikap baran tidak bertempat tanpa menjaga air muka isteri dan tidak mempedulikan sensitiviti orang sekeliling.
Belum pun reda isu berkenaan diperkatakan warga maya, muncul pula satu video lain dari sisi berbeza yang dirakam seorang pengunjung pada masa kejadian, sebelum rakaman dimuat naik di TikTok.
Menerusi perkongsian di akaun @edinkomeng, dia yang ketika itu mendakwa secara kebetulan berada di pasar raya berkenaan terdengar pekikan dan bertindak menuju ke arah bunyi bising tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Ganas 'perang' laki, bini di pasar raya! Suami campak barang isteri beli untuk Aidiladha, terbalikkan troli
"Guys, ada laki bini bergaduh. Guard datang, guard datang," ujarnya di dalam video berkenaan.
Dia kemudian memberanikan diri merakam dengan lebih dekat dan bertanyakan keadaan wanita yang bergaduh dengan suaminya.

Video tular itu dikongsikan di media sosial pada Rabu malam.
"Akak OK ke?" kedengaran dia bertanya namun tidak dijawab oleh wanita berkenaan yang wajahnya dilihat masih menahan marah.
Tidak lama kemudian, pasangan tersebut yang ditenangkan oleh pengawal keselamatan diiring ke satu tempat.
"Selalu aku buat video berlakon. Ini live guys. Jom, aku nak follow guard, aku nak ikut sekali diaorang pergi mana," ujar lelaki tersebut lagi sebelum video berakhir tanpa diketahui lokasi pasangan berkenaan dibawa.
Susulan munculnya video berkenaan, netizen mula 'menghidu' adegan membabitkan pasangan berkenaan berkemungkinan hanyalah 'content'.
Selain belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai insiden berkenaan, tindakan lelaki berkenaan yang membuat rakaman sambil tersenyum dan sempat membuat isyarat 'peace', menimbulkan tanda tanya ramai.
"Biar saya teka. Content kan?
"Tengok pun berlakon... ikut skrip habis.
"Orang gaduh dia boleh senyum-senyum, buat peace," antara komen netizen.
Dalam perkembangan terbaharu, perkongsian video susulan insiden itu di akaun media sosial pasar raya ST Rosyam Mart pada Khamis malam bagai mengesahkan kejadian pergaduhan itu adalah strategi pemasaran sempena Aidiladha.


