KISAH kecurangan hari ini bukan lagi sekadar rahsia dalam rumah tangga, sebaliknya menjadi tontonan umum sepanjang tahun 2025.
Daripada konflik pasangan biasa hinggalah melibatkan individu berjawatan tinggi dan selebriti terkenal, setiap pendedahan mencetuskan gelombang emosi, perdebatan moral serta penghakiman terbuka masyarakat.
Imbas kembali atau throwback mStar kali ini menghimpunkan lima kes kecurangan paling mencuri perhatian sepanjang tahun, sekali gus memperlihatkan bagaimana isu tersebut dinilai dan dihakimi dalam era media sosial.
1. Perbualan WhatsApp dedah kecurangan guru, 'abang wiring'
Kes ini mencetuskan perhatian ramai sekitar awal Mac apabila tangkap layar (screenshot) perbualan WhatsApp membongkar hubungan terlarang antara seorang lelaki bergelar suami orang dengan seorang guru wanita.
Individu yang dikenali sebagai 'abang wiring' kemudian tampil menerusi media sosial, mengakui kekhilafan diri dan menyifatkan apa yang berlaku sebagai ujian hidup.

Abang wiring tampil menyatakan apa yang berlaku dalam rumah tangga sebagai ujian dalam hidupnya.
Sebahagian warga maya melontarkan kecaman terhadap pasangan berkenaan, namun ada segelintir daripada mereka memberikan semangat susulan pengakuan dan penyesalan yang dibuat oleh lelaki terbabit.
2. 'Kiss cam' konsert Coldplay bongkar skandal CEO, HR Astronomer
Insiden ini berlaku ketika konsert Coldplay di Gillette Stadium, Amerika Syarikat sekitar Jun lalu.
Rakaman 'kiss cam' memaparkan aksi romantis sepasang kekasih yang kemudian dikenal pasti sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat teknologi Astronomer, Andy Byron dengan pasangannya, Kristin Cabot yang merupakan Ketua Pegawai Sumber Manusia syarikat sama.

Kejadian berlaku sewaktu konsert Coldplay diadakan di Gillette Stadium.
Gurauan spontan vokalis Coldplay, Chris Martin tanpa sengaja mendedahkan skandal pasangan berkenaan, yang kelihatan panik apabila menyedari aksi mereka dirakam dan bertindak meninggalkan konsert.
Akibat tularnya rakaman berkenaan, Kristin mengambil keputusan meletakkan jawatan, manakala Andy turut berundur selepas digantung tugas untuk siasatan dalaman.
3. Inara Rusli didakwa jadi perosak rumah tangga
Kes ini terbongkar sekitar Ogos lalu selepas satu laporan polis dibuat seorang wanita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Metro Jaya, Jakarta, Indonesia.
Nama Inara Rusli dikaitkan sebagai individu berinisial IR yang didakwa menjalin hubungan terlarang dengan lelaki dikenali sebagai Insanul Fahmi.
Pengadu yang merupakan isteri pertama Insanul mendedahkan hubungan pasangan berkenaan bermula melalui kerjasama perniagaan dan komuniti pengajian agama.

Inara dikaitkan dengan isu curang selepas menjadi mangsa kecurangan dalam rumah tangga.
Beberapa bukti termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Ironinya, Inara sebelum ini dikenali sebagai mangsa kecurangan, namun kini namanya dikaitkan pula dengan dakwaan hubungan terlarang, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat.
4. Isteri dibelasah ketika tuntut penjelasan isu skandal
Kejadian curang dipercayai berlaku berhampiran sebuah gerai makan di Sungai Buloh, Selangor pada awal Disember dan dirakam ahli keluarga mangsa.
Video tular memaparkan seorang isteri dipukul dan diheret selepas menuntut penjelasan mengenai wanita lain yang dilihat bersama suaminya.

Rakaman tular menunjukkan situasi ketika kejadian pendedahan kecurangan berlaku di Sungai Buloh.
Wanita yang didakwa sebagai kekasih gelap menafikan wujudnya hubungan istimewa dan mendakwa panggilan mesra 'B' terhadap lelaki berkenaan hanyalah bermaksud 'brother'.
5. Isteri bersemuka dengan 'orang ketiga', akhirnya kena 'basuh'
Belum reda kes curang 'brother', muncul pula rakaman pertemuan melibatkan seorang isteri, suami dan wanita yang didakwa sebagai orang ketiga, juga sekitar awal Disember.
Apa yang mengejutkan, wanita terbabit dilihat lantang bersuara, malah memberi 'nasihat' kepada isteri kekasihnya, seolah-olah memahami sepenuhnya kehidupan lelaki berkenaan.
Situasi itu mengundang kemarahan warga maya kerana dilihat seperti menormalisasikan hubungan terlarang.
Dia bagaimanapun meminta maaf kerana mengganggu proses perdamaian yang berlaku antara pasangan berkenaan.


