suria

Tak boleh lupa kes kemalangan bas UPSI... Ini 5 tragedi menggoncang emosi rakyat Malaysia sepanjang 2025

Antara insiden yang meninggalkan kesan terhadap rakyat Malaysia pada 2025.

TAHUN 2025 menjadi saksi kepada beberapa tragedi besar yang berlaku tanpa amaran, meragut nyawa insan tidak berdosa hingga meninggalkan kesan mendalam dalam lipatan emosi rakyat Malaysia. 

Dalam sekelip mata, perjalanan biasa bertukar menjadi tragedi yang kebanyakan berpunca daripada kecuaian orang lain.

Berikut mStar kongsikan lima kemalangan yang memberi kesan terhadap rakyat Malaysia sepanjang 2025.

15 mahasiswa UPSI maut dalam kejadian 9 Jun 2025.

1. Tragedi bas pelajar UPSI

Awal pagi Isnin pada 9 Jun 2025, negara dikejutkan dengan kemalangan maut membabitkan sebuah bas membawa 42 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.

Nahas tragis sekitar pukul 1 pagi yang meragut 15 nyawa itu membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding di Gerik.

Laporan Awal Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan oleh Pasukan Petugas Khas mendedahkan kelajuan bas melebihi dua kali ganda had laju yang ditetapkan merupakan antara punca kemalangan tersebut.

Kegagalan brek dipercayai punca lori memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh trak FRU.

2. Anggota FRU maut, trak bertembung dengan lori

Kemalangan tragis di Teluk Intan, Perak pada 13 Mei 2025 melibatkan sebuah trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan sebuah lori muatan batu kerikil, menyebabkan sembilan anggota maut dan sembilan lagi cedera.

Kejadian pada pukul 8.50 pagi itu dipercayai berlaku apabila lori pasir memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan trak FRU dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas tugasan di Teluk Intan.

Siasatan mendapati lori pasir membawa muatan berlebihan dan pemandunya mempunyai rekod jenayah lampau, serta pemanasan melampau pada brek lori, menjadi faktor penyebab kemalangan tersebut. 

Kejadian letupan gas di Putra Heights berlaku ketika hari kedua Aidilfitri.

3.Letupan gas Putra Heights

Hari yang sepatutnya bermula seperti biasa bertukar menjadi detik penuh ketakutan apabila kebakaran besar disusuli letupan kuat berlaku di Putra Heights, Selangor pada 1 April 2025.

Bermula dengan bunyi kuat sekitar pukul 8:23 pagi, insiden kebocoran paip gas bawah tanah Petronas itu menyebabkan kebakaran besar hingga memusnahkan puluhan rumah dan mencederakan 125 orang.

Setakat Oktober lalu, 36 penduduk yang terkesan dengan insiden tersebut memfailkan saman sivil bagi menuntut pampasan atas kerugian harta, kesihatan dan trauma emosi, selain menuntut keadilan serta ketelusan siasatan.

Penemuan kereta Proton Iswara merungkai misteri kehilangan enam beranak.

4.  Enam sekeluarga lemas di Sungai Korok

Misteri kehilangan enam sekeluarga terjawab apabila sebuah kereta ditemukan di dasar Sungai Korok di Jitra, Kedah pada 7 Julai 2025. 

Kereta Proton Iswara yang dipandu Mohamad Azim Izat Ishak bersama isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi dan empat anak yang lain terhumban ke sungai disyaki terbabas akibat jalan sempit, berlubang, dan kekurangan penghadang. 

Insiden itu menyentuh perasaan ramai, mengundang tumpuan terhadap keselamatan jalan raya di lokasi tersebut serta bantuan kepada anak tunggal mangsa yang terselamat, Putri Qisya Nur Izzat.

Kasih sayang ibu terhadap anak bukan sahaja membabitkan manusia, tetapi juga haiwan.

5. Kasih sayang ibu gajah

Tragedi menyayat hati berlaku apabila seekor anak gajah maut dilanggar lori ketika cuba melintas jalan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak pada 11 Mei 2025.

Lebih menyentuh perasaan, ibu gajah dilihat setia menunggu di sisi jasad anaknya dan enggan berganjak walau dipujuk.

Rakaman tular insiden itu mengundang sebak seluruh negara, seolah-olah membuktikan bahawa rasa kehilangan dan kasih sayang tidak memerlukan bahasa.

Artikel Lain