suria

Najib bersalah kes 1MDB... Dipenjara 15 tahun, denda RM11.38 bilion

Najib didapati bersalah terhadap empat pertuduhan menggunakan kuasa untuk suapan RM2.3 bilion dana 1MDB.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun dan didenda RM11.38 bilion oleh Mahkamah Tinggi Putrajaya pada Jumaat.

Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Sequerah menyampaikan hukuman tersebut pada pukul 9 malam selepas mendapati Najib bersalah terhadap empat pertuduhan menggunakan kuasa untuk suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Bagi setiap empat tuduhan menggunakan kedudukan, hakim memerintahkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib dan lima tahun penjara bagi setiap tuduhan pengubahan wang haram.

Semua hukuman diarahkan berjalan serentak dan hanya selepas Najib selesai menjalani hukuman penjara bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang berbaki lagi tiga tahun.

Ini bermakna Najib akan mula menjalani hukuman penjara bagi kes suapan dana 1MDB pada tahun 2028.

Sequerah turut memerintahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani hukuman penjara 40 tahun jika beliau gagal membayar denda berkenaan.

Artikel Lain