TAHUN 2025 menyaksikan banyak kematian yang mengundang perhatian ramai, merangkumi pemergian tokoh terkenal mahupun individu biasa yang terlibat dalam insiden tragis yang mencetuskan perbincangan luas di media sosial dan arus perdana.
Setiap kehilangan pasti meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, peminat serta masyarakat yang mengikuti perkembangan kisah mereka.
Ada yang pergi tanpa diduga, tak kurang juga yang menghembuskan nafas terakhir selepas bertarung melawan penyakit, namun semuanya mengingatkan kita betapa singkatnya kehidupan serta kesan besar yang ditinggalkan kepada insan sekeliling.
1. Tun Abdullah Ahmad Badawi
Bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5 itu meninggal dunia pada pukul 7.10 malam di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada 14 April.
Allahyarham yang terkenal dengan panggilan Pak Lah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun.

Tun Abdullah merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5.
Allahyarham berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 2 April 2009.
2. Datuk Seri Bung Moktar Radin
Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu meninggal dunia pada 5 Disember di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.
Allahyarham yang berusia 66 tahun menerima rawatan selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.

Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember 2025.
Allahyarham meninggalkan dua isteri iaitu Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad serta tujuh orang anak.
3. Zara Qairina Mahathir
Nama Zara Qairina, 13, menjadi sebutan rakyat Malaysia selepas pelajar Tingkatan 1 itu meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 1, Sabah, pada 17 Julai.
Dia sebelum itu ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah pada 16 Julai.

Gerakan #JusticeForZara menjadi tumpuan rakyat Malaysia dan negara-negara jiran.
Gerakan #JusticeForZara tular di seluruh Malaysia sehingga ke negara jiran selepas timbul dakwaan yang mengaitkan kematiannya dengan kes buli.
4. Yap Shing Xuen
Pada 14 Oktober, seluruh negara dikejutkan dengan berita kematian seorang pelajar perempuan selepas dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki.
Mangsa, Yap Shing Xuen, 16, ditemukan meninggal dunia di dalam tandas sekolahnya di Petaling Jaya.

Kes pelajar maut ditikam di sekolah mengejutkan seluruh rakyat Malaysia.
Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
5. Mohamad Azim sekeluarga (Tragedi Sungai Korok)
Kisah kematian enam beranak yang maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam Sungai Korok di Jitra, Kedah turut meruntun hati seluruh rakyat Malaysia.
Kereta dinaiki keluarga itu ditemukan di dasar Sungai Korok pada 7 Julai lalu.

Antara kes kematian yang meruntun hati rakyat Malaysia.
Mangsa yang terkorban adalah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, dan empat anak mereka, Putra Rayyan Nur, 9; Hawa Adriana Nur, 8; Annayla Humaira Nur, 7; dan Tuah Haydar yang berusia enam bulan.
6. Nurly Shahirah
Nurly Shahirah Azman, 23, merupakan salah seorang daripada 14 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding di Gerik pada 9 Jun lalu.
Namanya menjadi sebutan ramai kerana Allahyarham merupakan seorang hafizah al-Quran.

Nurly merupakan salah seorang mangsa nahas bas UPSI.
Selain menghafaz 30 juzuk al-Quran, Allahyarham juga memiliki koleksi tahriri atau salinan al-Quran tulisan tangannya sendiri.
UPSI juga bakal mewujudkan sebuah galeri khas yang akan dinamakan sempena nama Allahyarham sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangannya dalam bidang tahfiz al-Quran.
Galeri Nurly Sahirah akan ditempatkan dalam bangunan baharu Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (I-Furqan) UPSI yang sedang dibina dengan dijangka siap pada awal 2027.
7. Abdullah Chan
Pemilik dan pengasas rangkaian Restoran Mohd Chan, Datuk Dr Muhammad Chan Abdullah, meninggal dunia pada 24 September.
Restoran Mohd Chan mula beroperasi lebih sedekad lalu dengan hanya sebuah kedai kecil di Bukit Beruntung, Selangor, sebelum berkembang pesat sehingga mempunyai 18 cawangan di sekitar Lembah Klang.

Kematian Muhammad Chan turut menerima liputan meluas pada September lalu.
Kejayaan ini lahir daripada usaha gigih beliau dalam memperkenalkan masakan Cina Muslim yang halal kepada masyarakat, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pelanggan beragama Islam untuk menikmati hidangan berkonsepkan masakan kaum Cina.
8. Hulk Hogan
Hulk Hogan ialah antara ikon gusti profesional paling terkenal di dunia dan menjadi wajah utama kebangkitan World Wrestling Federation (kini WWE) pada era 1980-an.
Selebriti sukan berusia 71 tahun itu meninggal dunia pada 24 Jun akibat akibat serangan jantung (acute myocardial infarction) di rumahnya di Florida, Amerika Syarikat.
Selain dunia sukan, Hulk Hogan juga membintangi banyak filem seperti Rocky III, No Holds Barred, Mr. Nanny dan Santa with Muscles.
9. Charlie Kirk
Aktivis politik konservatif AS itu disahkan meninggal dunia selepas ditembak ketika menghadiri sebuah acara di Utah pada 10 September.

Kematian Hulk Hogan, Frank Caprio dan Charlie Kirk turut mendapat liputan media-media Malaysia.
Video detik kematian Kirk turut tular di media sosial.
Kematian itu bukan sahaja mendapat perhatian Presiden AS, Donald Trump, malah turut menjadi bualan di seluruh dunia.
Kirk dianggap sebagai individu berpengaruh kerana membantu Trump dalam meraih undi golongan belia.
Selepas kematiannya, Trump mengumumkan bakal menganugerahkan Kirk secara anumerta dengan pingat penghormatan awam tertinggi negara, Pingat Kebebasan.
10. Frank Caprio
Figura disegani di mahkamah dan media sosial, Frank Caprio meninggal dunia pada usia 88 tahun pada 20 Ogos.
Dia dikenali sebagai 'hakim paling baik di dunia' kerana sikap penuh belas kasihan dan dianggap adil setiap kali mengendalikan prosiding.
Caprio pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Mahkamah Perbandaran Providence, Rhode Island, Amerika Syarikat (AS).
Selain muncul dalam siri televisyen Caught in Providence, dia juga memiliki 1.5 juta pengikut di TikTok.


