suria

[V] Rindu terubat, wanita terserempak lelaki seiras arwah bapa di Madinah

Najihah terserempak dengan lelaki seiras arwah bapanya.

SEORANG wanita meluahkan rasa syukur apabila rasa rindu terhadap insan tersayang sedikit terubat selepas terserempak dengan seorang lelaki yang mirip arwah bapanya.

Menerusi perkongsian di TikTok [Tonton Video] pada Khamis, Najihah Ishak berkongsi detik bertemu lelaki tersebut di Arab Saudi.

"Apabila rindu arwah ayah, tiba-tiba Allah bagi jumpa yang seiras di Madinah.

"Terima kasih bagi peluang lepas rindu walaupun sedetik. Sedekahkan al-Fatihah untuk arwah ayah saya, Ishak Daud," katanya.

Berdasarkan video berdurasi kurang seminit itu, Najihah menegur seorang lelaki bersama isterinya, sebelum meminta izin bagi merakam gambar kenangan.

Najihah turut berkongsi gambar arwah bapanya yang sememangnya seiras dengan lelaki tersebut.

"Isteri dia ok. Pakcik ni terangkan kepada isteri dia yang mukanya sama seperti ayah saya.

"Dia siap minta kebenaran isteri dulu untuk kami bergambar dan isterinya izinkan," katanya yang tidak pasti lelaki tersebut berasal dari negara mana.

Perkongsian itu menarik perhatian netizen terutama dalam kalangan mereka yang sudah kehilangan ibu bapa.

"Ayah saya meninggal 12 tahun lepas, tiga minggu lalu Allah izin saya jumpa orang seiras dengan arwah ayah di Makkah.

"Sekarang dah jadi ayah angkat saya, siap ziarah saya di tempat kerja dan mengaku saya anak dia. Syukur sangat," kata netizen.

Artikel Lain