suria

Kongsi bayar zakat RM4 juta bukan nak tunjuk riak, usahawan permotoran jelas niat sebenar - “Buat tanggungjawab, itu perkara normal”

Adib memaklumkan bayaran zakat perniagaannya berjumlah RM4 juta pada 2025.

USAHAWAN permotoran, Adib Affandi Mohamad, berkongsi secara terbuka mengenai jumlah zakat perniagaan yang ditunaikan syarikatnya berjumlah RM4 juta.

Menurut pengasas ESR Motor itu, perkongsian berkenaan bukan bertujuan untuk riak, sebaliknya bagi memaklumkan kepada pelanggan tentang penyaluran wang hasil sokongan mereka.

"Ia bukan sebab nak bangga tetapi zakat ni tanggungjawab. Bila kita buat tanggungjawab, itu perkara normal. Yang luar biasa tu kalau tak buat.

"Ada kesan positifnya bila saya kongsi, masa zakat RM200,000 tu, saya buat video dan kesannya daripada RM200,000, lompat naik kepada RM1 juta tahun lepas," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Syukri penyumbang zakat tertinggi 2025, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel kekal beri sumbangan RM1 juta setiap tahun

Menurut Adib kesan positif itu terus meningkat pada tahun ini apabila ia mencecah RM4 juta.

"Bila saya update RM1 juta, kesannya naik jadi RM4 juta. Ini bukan sebab saya pandai bisnes, tapi sebab Allah permudahkan bila kita buat tanggungjawab," ujarnya.

Dalam masa sama, Adib menegaskan bahawa kejayaan sesebuah perniagaan bukanlah hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya didorong oleh sokongan pasukan serta pelanggan setia di belakang tabir.

Adib bagaimanapun tidak menafikan menerima pandangan negatif apabila dia berkongsi jumlah bayaran zakat tersebut.

"Komen negatif saya abaikan sebab tak boleh buat apa. Sebab bukan semua orang suka kita.

"Tapi bila ia adalah membabitkan tanggungjawab sebagai umat Islam kita kena laksanakan," katanya yang membuat pembayaran zakat tersebut di Perlis.

 

Artikel Lain