suria

Suasana pilu iringi penghormatan terakhir 9 anggota FRU

Penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi diadakan pada Rabu. -Foto Bernama

SEMBILAN wira negara dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas jalan raya di Teluk Intan, Perak menerima penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), awal pagi Rabu.

Istiadat penuh kepahlawanan itu berlangsung di perkarangan FRU Unit 5 Sungai Senam di Ipoh, Perak sekitar pukul 3.30 pagi, disaksikan lebih 500 orang termasuk ahli keluarga, rakan setugas dan kepimpinan tertinggi PDRM serta negeri.

Semua keranda tiba dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada pukul 3.13 pagi, dibaluti Jalur Gemilang sebagai simbol penghargaan tertinggi kepada pengorbanan mereka.

Tujuh daripada anggota yang beragama Islam disolatkan di Surau Al-Mustakim, dipimpin Ustaz Azrul Zaimi Muhammad Ali.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota FRU terkorban sempat kongsi video di WhatsApp, tunjuk suasana dalam trak bersama rakan-rakan

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi berulang... Kemalangan maut libatkan anggota FRU pernah berlaku lebih 3 dekad lalu

Hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin serta beberapa pegawai kanan PDRM lain.

Selesai istiadat, jenazah diserahkan kepada waris masing-masing untuk urusan pengebumian di kampung halaman.

Terdahulu, kejadian tragis yang berlaku pada pagi Selasa di Jalan Chikus-Sungai Lampam itu dipercayai berpunca daripada kerosakan stereng lori membawa muatan batu.

Lori yang dipandu itu kemudiannya merempuh trak FRU yang sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai tugasan perayaan Chitra Pournami.

Ia menyebabkan sembilan anggota FRU Unit 5 Ipoh meninggal dunia.

Susulan itu, pemandu lori treler muatan batu yang menjadi punca kemalangan itu pula ditahan untuk siasatan lanjut.

Artikel Lain