"KINI saya hanya mampu mengenang kebaikannya tanpa sempat membalasnya," kata Noress Pandak, 40.
Noress adalah abang kepada Nurit iaitu salah seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam nahas melibatkan kenderaan dinaiki dengan lori muatan batu di Teluk Intan, Perak pada Selasa.
Ketika dihubungi mStar, tukang kebun itu mengakui masih terkejut dengan kemalangan terbabit dan tidak percaya akan kehilangan Nurit, 34, buat selamanya.
Sembilan anggota FRU yang maut dalam nahas membabitkan lori membawa muatan batu di Teluk Intan. -Gambar PDRM
"Ini bukan kali pertama dia kemalangan jalan raya, sudah berulang kali cuma kali ini takdirnya dia tidak kembali," katanya.
Noress berkata, lebih menyedihkan, setahun yang lalu anak kepada Nurit terlebih dahulu meninggal dunia akibat komplikasi jantung.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lori batu ada rekod jenayah dadah, saman trafik tertunggak
ARTIKEL BERKAITAN: Anggota FRU terkorban sempat kongsi video di WhatsApp, tunjuk suasana dalam trak bersama rakan-rakan
"Dia hanya sempat menjaga anaknya dua tahun sahaja, sebelum meninggal dunia pada Februari tahun lepas.
"Pemergian Nurit pada hari ini memberi kesedihan yang teramat sangat kepada kami sekeluarga," katanya yang merupakan Orang Asli dari suku Semai.
Noress juga memaklumkan kira-kira 11 tahun lalu, adiknya ada memuat naik hantaran di media sosial akan pergi buat selamanya dengan memakai seragam FRU.
Hantaran Nurit pada 2014 di media sosial.
Hantaran itu bertulis 'bagi tengok gambar dulu sebelum mati, mana la tahu'.
Menyentuh keperibadian adiknya itu, Noress berkata Nurit anak yang taat dan rajin membantu keluarga.
"Dia seorang yang pemurah dan sentiasa menghulurkan bantuan wang ringgit serta kudrat kepada keluarga," katanya.
Noress berkata majlis pengebumian adiknya itu akan dibuat di kampung halaman mereka di Kampar, Perak.
Dalam kejadian 8.50 pagi Selasa, kegagalan fungsi stereng dipercayai menjadi punca lori membawa muatan batu merempuh lori FRU.
Trak FRU dari Unit 5 yang membawa 18 orang anggota itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh sesudah selesai tugasan perayaan Chitra Pournami di Hilir Perak.