suria

Seronok ikut trend tapi tubuh merana! Ini 3 kesan sampingan diet telur rebus

Diet berasaskan telur semakin menjadi trend masyarakat. -Gambar hiasan AI

MEMILIKI bentuk tubuh menawan disusuli berat badan yang ideal merupakan idaman ramai, terutama golongan wanita dan remaja.

Maka tidak hairanlah apabila apa sahaja perkongsian diet mahupun pengalaman kurus seseorang yang berlegar di media sosial, dicuba tanpa memikirkan kesan sampingan.

Terkini, ramai yang mengamalkan pengambilan telur rebus dalam diet harian kononnya dapat memiliki tubuh langsing dengan pantas.

Namun adakah anda sedar, pengambilan telur rebus tanpa sumber nutrisi lain seperti nasi, sayur dan buah sebenarnya boleh mengakibatkan kesan buruk pada tubuh.

Menyoroti trend masyarakat masa kini, laman Facebook Public Health Malaysia berkongsi realiti sains tentang reaksi tubuh apabila diet ekstrem tersebut dilakukan.

Telur mengandungi sumber protein yang sangat tinggi. -Gambar hiasan AI

Telur mengandungi sumber protein yang sangat tinggi. -Gambar hiasan AI

"Telur adalah sejenis 'superfood' yang sangat bagus, murah dan kaya dengan nutrisi jika diambil sebagai sebahagian daripada diet yang seimbang. 

"Tetapi menjadikan ia sebagai satu-satunya jenis makanan ke dalam mulut adalah satu bentuk penderaan organ," jelasnya.

Ini tiga perkara yang akan berlaku pada tubuh anda.

1. Betulkah lemak tubuh hilang?

Penurunan berat badan yang mendadak pada minggu pertama, kebiasaannya hanyalah ilusi. 

Apabila anda memotong karbohidrat secara ekstrem, tubuh akan membakar simpanan tenaga kecemasan (glikogen) di dalam otot. 

Setiap gram glikogen mengikat tiga gram air. 

Jadi, yang hilang itu adalah air dalam badan anda, bukannya lemak degil di perut.

2. Punca masalah sembelit kronik

Telur adalah sumber protein yang sangat tinggi, tetapi ia mengandungi sifar serat. 

Apabila usus tidak menerima sebarang serat daripada sayur atau buah selama berhari-hari, sistem pencernaan anda akan terhenti. 

Kesannya, najis menjadi keras seperti batu dan akan memasuki fasa ketosis yang menghasilkan gas keton. 

Gas ini akan membebaskan bau aseton melalui pernafasan, menyebabkan mulut anda berbau sangat aneh dan tidak boleh dihilangkan walaupun menggosok gigi berkali-kali.

3. Kehilangan jisim otot

Apabila badan kekurangan kalori dan nutrisi yang pelbagai (starvation mode), otak akan mula merungkai otot sebagai sumber tenaga. 

Semakin kurang otot di badan, semakin perlahan kadar metabolisme anda. 

Akibatnya, sebaik sahaja anda berhenti diet telur dan mula makan makanan biasa, berat badan akan melantun naik dua kali ganda lebih berat daripada asal. 

Ini dipanggil kesan Yo-Yo.

Artikel Lain