SEORANG lelaki ditahan polis selepas dipercayai menjerut leher isterinya hingga maut menggunakan selendang gara-gara cemburu apabila melihat wanita itu sedang bercakap di telefon pada lewat malam.Dalam kejadian di Kampung Bans Aliyar, Manesar, Gurugam, suspek yang berusia 37 tahun dikatakan bertindak di luar kawalan selepas isterinya enggan menyerahkan telefon bimbit kepadanya. Menurut polis, ketika kejadian berlaku, empat anak pasangan itu sedang tidur dan tidak menyedari insiden berkenaan.Siasatan awal mendapati suspek mengesyaki isterinya yang berusia 36 tahun sedang berhubung dengan lelaki lain menerusi telefon.Pasangan tersebut dilaporkan bekerja sebagai buruh di sebuah syarikat swasta dan tinggal bersama empat anak mereka di kampung berkenaan.Polis berkata mangsa biasanya pulang ke rumah sekitar pukul 8 malam setiap hari, manakala suaminya akan pulang pada waktu tengah malam selepas tamat bekerja.Pada malam kejadian, suspek dikatakan melihat mangsa sedang berbual melalui telefon sebelum bertanyakan identiti individu yang dihubungi wanita itu.Dia kemudian meminta telefon bimbit tersebut, namun mangsa enggan menyerahkannya, sekali gus mencetuskan pertengkaran antara mereka.“Dalam keadaan marah dan dipengaruhi perasaan curiga, suspek dipercayai menjerut mangsa hingga meninggal dunia sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian," kata polis.Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas polis tidak lama kemudian untuk membantu siasatan.Jurucakap Polis Gurugram memaklumkan bahawa pihaknya turut merampas selendang yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan."Suspek kini sedang disoal siasat," katanya.Kes tersebut kini disiasat oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti motif dan kronologi penuh kejadian. -Agensi