Cendawan jenis ini biasanya tumbuh dengan banyak selepas musim hujan. -Foto Facebook: เห็ดป่า บูรณาการความรู้
DUA lelaki dilaporkan maut selepas memakan cendawan beracun yang dikutip dari hutan, mencetuskan amaran kesihatan kepada orang ramai supaya berhati-hati ketika mencari makanan liar pada musim hujan.Kejadian berlaku di Mok Cham Pae, daerah Mueang, Thailand, yang mana cendawan liar tumbuh dengan banyak. Ketua kampung, Janeng Wansueng berkata, seorang lelaki berusia 38 tahun meninggal dunia pada 27 Mei selepas mengutip cendawan dari hutan berhampiran dan memasaknya untuk dimakan sendiri.Tidak lama selepas memakannya, dia mengalami muntah teruk dan cirit-birit sebelum dibawa ke Hospital Si Sangwan di Mae Hong Son.Lelaki itu kemudian dipindahkan ke Hospital Maharaj Nakorn Chiang Mai sebelum disahkan meninggal dunia.ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas buat ‘eksperimen’ beri anjing makan cendawan liar, akhirnya sekeluarga masuk hospital!Mangsa kedua, seorang lelaki berusia 45 tahun, meninggal dunia pada 2 Jun selepas memakan cendawan yang dikutip dari kawasan sama. Dia turut mengalami loya dan muntah teruk sebelum dibawa ke Hospital Si Sangwan dan kemudian dipindahkan ke sebuah hospital di Chiang Mai, namun akhirnya meninggal dunia.Hasil siasatan awal mendapati cendawan berkenaan berkemungkinan jenis Ra Ngak atau cendawan death cap putih.Pihak berkuasa percaya kedua-dua mangsa mungkin tersalah anggap cendawan itu sebagai jenis yang selamat dimakan.Pejabat Kesihatan Awam Wilayah Mae Hong Son memberi amaran banyak spesies cendawan beracun tumbuh pada musim hujan bersama-sama dengan cendawan yang boleh dimakan. Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan setiap cendawan dikenal pasti dengan betul sebelum dimakan atau dijual. -Agensi