SEORANG pegawai imigresen antara lapan suspek yang ditahan selepas dipercayai membeli sebuah rumah dengan cara yang cukup luar biasa iaitu bukan dengan wang kertas, sebaliknya menggunakan syiling emas.Difahamkan, aset tersebut diperoleh menerusi hasil kutipan haram daripada pemohon permit kediaman warga asing. Berdasarkan laporan, penahanan itu dibuat oleh Suruhanjaya Pembasmian Rasuah Indonesia (KPK) seiring siasatan berhubung kegiatan pemerasan yang didakwa dilakukan secara sistematik dalam proses permohonan permit kediaman di negara berkenaan.Siasatan turut mendedahkan transaksi luar biasa apabila sebuah rumah dipercayai dibeli menggunakan syiling emas dan bukannya wang tunai atau pemindahan bank seperti kebiasaan.Pengerusi KPK, Setyo Budiyanto berkata, penemuan tersebut terbongkar selepas beberapa suspek dipercayai panik susulan siasatan berhubung dana Pelan Penggunaan Pekerja Asing (RPTKA) yang dijalankan pada tahun 2025.Menurutnya, wang yang disimpan dalam beberapa akaun dipercayai dikeluarkan secara berperingkat sebelum ditukar kepada emas bagi mengelakkan ia dikesan pihak berkuasa."Malah ketika membeli rumah, pembayaran dibuat menggunakan syiling emas," katanya pada Khamis.Apa yang mengejutkan, beliau turut mendedahkan penglibatan Timbalan Menteri Imigresen dan Pembetulan, Silmy Karim, sebelum suspek ditahan pada Khamis lalu.Dakwa KPK, perbuatan itu dilakukan ketika suspek menjawat jawatan Ketua Pengarah Imigresen antara 2023 hingga 2024.Arahan itu dikatakan disalurkan melalui beberapa pegawai kanan sebelum dana berkenaan dikutip menggunakan akaun proksi yang dikendalikan kakitangan tertentu.Untuk rekod, siasatan mendapati kegiatan itu bermula apabila warga asing yang menggunakan khidmat agensi bagi menguruskan permit kediaman berdepan pelbagai halangan walaupun sudah membayar fi rasmi kerajaan.Bagi mempercepatkan kelulusan, mereka didakwa dipaksa membayar caj tambahan di beberapa peringkat termasuk pejabat wilayah dan pusat.Sepanjang tempoh 2022 hingga 2026, dana haram yang dikumpulkan dipercayai mencecah sekurang-kurangnya Rp145.5 bilion (kira-kira RM37 juta).Silmy juga disyaki menerima bayaran tetap sebanyak Rp100 juta (sekitar RM25,000) setiap minggu hasil kegiatan tersebut.Malah, bagi menyembunyikan pengagihan wang rasuah, kumpulan itu turut menggunakan beberapa kod rahsia termasuk istilah 'malaikat' bagi merujuk kepada pegawai berpangkat tinggi yang menerima habuan.Selain itu, mereka juga menggunakan istilah berkaitan persembahan kugiran seperti vokalis, pemain gitar, penyanyi latar dan koreografer bagi merujuk kepada penerima wang tertentu. -Agensi