SEORANG lelaki tampil mendesak agar siasatan menyeluruh dilakukan terhadap prosedur suntikan pen pelangsingan badan (slimming pen) selepas mendakwa rawatan estetik tersebut hampir sahaja meragut nyawa isteri tercinta.Menurut lelaki warga Thailand itu, isterinya menerima rawatan di sebuah klinik di kawasan Ramindra, Bangkok pada 31 Mei lalu. Menerusi hantaran Facebook, lelaki itu berkata isterinya mengalami komplikasi kesihatan teruk selepas menerima suntikan penurunan berat badan yang didakwa belum didaftarkan.Dia mendakwa isterinya pergi ke klinik berdaftar untuk mendapatkan nasihat rawatan penurunan berat badan dan merancang menggunakan produk yang dikaji sendiri melalui ulasan dalam talian.Namun, pihak klinik didakwa mencadangkan produk jenama lain dengan alasan ia mempunyai bahan yang sama tetapi kurang kesan sampingan.Wanita itu kemudian bersetuju untuk menerima rawatan tersebut.Lelaki itu mendakwa suntikan itu diberikan oleh kakitangan klinik tanpa penglibatan doktor serta tanpa sebarang pemeriksaan kesihatan, diagnosis atau ujian darah.ARTIKEL BERKAITAN: Masih percaya produk kurus? Wanita ini berjaya turun 14 kg dalam masa 4 bulan, tak perlu berlapar sebelum naik pelaminSelepas menerima suntikan, isterinya mengalami simptom teruk termasuk pening, muntah dan sakit seluruh badan sehingga perlu mendapatkan rawatan di hospital dan berada di bawah pemantauan rapi. Dia juga dikatakan tidak dapat makan seperti biasa.Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, semakan lanjut yang dilakukan oleh pasangan suami isteri itu mendapati produk slimming pen berkenaan rupa-rupanya masih belum berdaftar di bawah agensi kesihatan Thailand.Hal ini amat mengejutkan kerana pihak klinik sebelum itu mendakwa kononnya ubat tersebut sudah berdaftar di Amerika Syarikat dan mendakwa sedang dalam proses kelulusan di Thailand.Enggan membiarkan penganiayaan itu berlalu begitu sahaja, lelaki berkenaan bertindak tegas membuat laporan rasmi kepada beberapa agensi kerajaan berkaitan, selain memulakan tindakan undang-undang ke atas klinik terbabit demi menuntut keadilan. -Agensi