PERCAYA wang sudah selamat dipindahkan ke dalam akaun, seorang ejen bank akhirnya terduduk apabila menyedari dia ditipu bulat-bulat selepas menyerahkan wang tunai 19 juta rupiah (RM4,227) kepada seorang wanita.Kejadian malang itu berlaku di sebuah kios bank BRILink di Glenmore, Jawa Timur, Indonesia pada Isnin lalu. Ketua Polis Glenmore, AKP Budi Hermawan berkata, suspek yang memakai pakaian serba hitam pada mulanya datang ke premis berkenaan dengan alasan mahu melakukan transaksi pengeluaran wang tunai.Menurut Budi, suspek terlebih dahulu mendakwa mahu membuat pemindahan wang menerusi Bank Jatim. Dia kemudian meminta nombor akaun penerima selain bank BRI dengan alasan proses transaksi antara bank boleh mengambil masa sehingga 24 jam.Tanpa mengesyaki sebarang perkara mencurigakan, pekerja berkenaan mendapatkan nombor akaun bank lain sebelum menyerahkannya kepada suspek.Suspek kemudian mendakwa telefon bimbitnya mengalami masalah dan meminta untuk meminjam telefon mangsa bagi menghubungi suami, kononnya untuk membuat pemindahan wang tersebut."Telefon pengadu dipinjam kira-kira lima minit sebelum dipulangkan semula bersama dakwaan bahawa wang sebanyak 19 juta rupiah sudah dipindahkan," katanya.Suspek turut menunjukkan gambar resit sebagai bukti transaksi kepada mangsa bagi meyakinkannya bahawa wang berkenaan telah berjaya dipindahkan.Demi mendapatkan kepastian, mangsa sempat menghantar mesej WhatsApp kepada seorang lagi rakan sekerjanya bernama Nurul yang memegang akaun penerima tersebut.Mangsa menarik nafas lega apabila menerima balasan mesej yang mengesahkan wang itu memang sudah masuk.Yakin dengan pengesahan itu, mangsa menyerahkan wang tunai 19 juta rupiah kepada suspek yang kemudian segera meninggalkan premis berkenaan.Bagaimanapun, tidak lama kemudian mangsa dimaklumkan pemilik kios bank bahawa wang tersebut sebenarnya tidak pernah diterima.Hasil siasatan mendapati akaun WhatsApp pekerja yang menghantar pengesahan itu dipercayai telah digodam dan diceroboh suspek untuk menghantar mesej palsu ketika meminjam telefon mangsa.Pihak polis kini sedang giat menjalankan siasatan lanjut bagi memburu suspek misteri itu, yang wajah dan tindak-tanduknya sempat dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan. -Agensi