SEORANG buruh ditemukan maut dalam keadaan tertimbus di bawah timbunan tanah di sebuah tapak pembinaan jalan raya.Lebih memilukan, mangsa dipercayai sedang nyenyak tidur di lokasi kejadian sebelum tragedi itu berlaku. Ia berikutan, barang peribadi mangsa termasuk sebuah beg yang mengandungi makanan, cili hijau, pengecas telefon bimbit serta selendang ditemukan bersebelahannya.Kejadian menyayat hati itu dilaporkan berlaku di daerah Gorakhpur, Uttar Pradesh, India pada Khamis.Berdasarkan laporan, mayat lelaki itu ditemukan ketika pekerja sedang menjalankan kerja meratakan tanah di pembahagi jalan bagi projek pembinaan jalan empat lorong yang sedang berlangsung di kawasan berkenaan.Menurut saksi, mereka pada awalnya menyangka objek tersebut hanyalah kain yang tertimbus.Namun selepas membuat pemeriksaan berhampiran, kelihatan tangan manusia terkeluar dari timbunan tanah.Susulan itu, laporan polis dibuat bagi mendapatkan bantuan.Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan dengan bantuan jengkaut dan beberapa pekerja.Berdasarkan barang-barang yang dijumpai, polis percaya mangsa mungkin bermalam di kawasan pembinaan itu dan sedang tidur di atas pembahagi jalan sebelum kejadian berlaku.Bagaimanapun, polis memaklumkan siasatan masih dijalankan dan semua kemungkinan sedang diteliti bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.Untuk rekod, mangsa merupakan bapa kepada dua orang cahaya mata dan telah meninggalkan rumah kira-kira 10 hari lalu bagi menjalankan kerja sebagai buruh di lokasi kejadian. -Agensi