suria

Ramai cadang amalkan omega 3 dalam diet harian... Tapi awas, pengambilan berlebihan undang risiko kesihatan!

Ramai warga emas yang mengambil omega-3 dalam diet harian. -Gambar hiasan AI

KEPELBAGAIAN manfaat yang terkandung dalam omega-3 membuatkan masyarakat mula menjadikannya sebagai makanan tambahan harian.

Kebiasaannya, sumber utama omega-3 adalah daripada ikan berlemak seperti salmon, makerel, sardin dan tuna mahupun nabati (ALA) iaitu chia seeds, kacang kenari dan edamame.

Dalam dunia hari ini, ia dapat diperoleh menerusi suplemen tambahan berbentuk kapsul berwarna kuning keemasan yang memudahkan penyerapan berlaku pada tubuh.

Namun adakah pengambilan setiap hari dapat membantu menurunkan kadar kolestrol dalam darah dan menyihatkan jantung anda?

Mengulas mengenainya, laman Facebook Public Health Malaysia berkata, cara pengambilan yang salah boleh menyebabkan masalah kesihatan lain pada tubuh.

"Jika omega-3 diambil dengan betul, ia akan membantu mencuci saluran darah (trigliserida) kerana minyak ikan sangat kaya dengan asid lemak EPA dan DHA yang mana fungsi utamanya adalah menurunkan paras lemak degil dalam darah (trigliserida).

"Selain itu, ia juga bertindak sebagai ejen anti-keradangan semula jadi dengan mengurangkan bengkak dan bertindak seperti minyak pelincir pada 'engsel pintu' seperti sendi dan lutut.

"Suku daripada otak manusia dibina daripada lemak DHA, pengambilan harian membantu mengekalkan ketajaman memori untuk warga emas dan mengurangkan risiko masalah mata kering bagi mereka yang kerap menghadap skrin komputer," jelasnya.

Omega-3 dapat membantu mengatasi sakit lutut dan sendir. -Gambar hiasan AI

Omega-3 dapat membantu mengatasi sakit lutut dan sendi. -Gambar hiasan AI

Menurut laman itu lagi, kesilapan dalam tatacara pengambilannya akan turut memberi kesan sampingan pada tubuh.

Lebih membimbangkan apabila ramai yang mengabaikannya.

Ini tiga perkara yang perlu anda perhati sekiranya mengamalkan omega-3 dalam diet harian.

1. Risiko pendarahan gagal berhenti (darah cair)

Ini adalah bahaya paling besar untuk tubuh anda kerana omega-3 secara semula jadi mencairkan darah.

Jika anda memang sudah mengambil ubat pencair darah dari hospital (seperti aspirin, warfarin atau plavix), mencampurkannya dengan dos minyak ikan yang tinggi boleh menyebabkan anda berisiko mengalami pendarahan dalaman atau strok berdarah.

Jika anda mahu cabut gigi atau jalani pembedahan, doktor wajibkan anda berhenti makan minyak ikan seminggu lebih awal.

2. Masalah perut dan sendawa hanyir

Kesan sampingan paling popular yang berlaku kepada pengamalnya tetapi sering diabaikan.

Ramai yang sering mengalami perut sebu, kerap buang air besar (cirit-birit) dan sendawa terasa hanyir bau ikan mentah apabila mengambilnya setiap hari.

Oleh itu, cuba simpan kapsul dalam peti sejuk untuk kurangkan bau hanyir tersebut.

3. Keracunan vitamin A 

Percaya atau tidak, anda mungkin boleh mengalami keracunan vitamin A.

Cuba perhatikan betul-betul label pada botol suplemen anda, adakah minyak ikan (fish oil) atau minyak hati ikan kod (cod liver oil)?

Hati ikan kod sangat tinggi dengan Vitamin A, jika ditelan setiap hari dalam dos yang besar, anda boleh mengalami keracunan Vitamin A.

Kesannya, organ hati anda akan rosak.

Artikel Lain