suria

Harun Hashim gagahkan diri berpuasa walaupun tak sihat… “Di hujung usia ini, saya hanya kuatkan iman”

Harun Hashim tetap berpuasa walaupun berdepan masalah kesihatan di hujung usia.

PELAKON veteran, Harun Hashim bersyukur masih diberikan umur yang panjang serta kudrat untuk menunaikan ibadah puasa pada tahun ini.

Harun yang sudah mencecah usia 70 tahun berkata, meskipun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan apabila menghidap pelbagai penyakit, termasuk tiga serangkai selain mata kiri tidak lagi berfungsi, namun dia tetap menggagahkan diri untuk menunaikan kewajipan itu.

“Alhamdulillah, saya tetap berpuasa dan walaupun jalan bergoyang-goyang, saya masih puasa sebab saya tiada sakit perut atau gastrik. Saya hanya ada darah tinggi dan kolesterol juga tinggi, malah lutut saya juga agak lemah.

Harun mengakui kini hanya mahu habiskan usia dengan memperkukuh iman.

“Tapi saya tetap boleh berjalan walau goyang-goyang. Kalau ada ‘shooting’, orang datang ambil dan hantar balik sebab jalan pun saya sudah lupa. Dialog pun orang bagi dan saya ikut saja apa yang ‘assistant director’ suruh.

“Saya sebenarnya sudah banyak lupa tapi siapa yang sanggup ajarkan saya dialog, saya buat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Jiwa Prihatin di Royale Chulan Kuala Lumpur.

Ditanya apakah perbezaan puasa pada tahun ini, Harun berkata, di hujung usia ini tidak banyak yang berubah melainkan fokus kepada diri sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau lapar saya teguk air paip” - Harun Hashim pernah tidur kaki lima

ARTIKEL BERKAITAN: Ziarah kubur setiap hari, Harun Hashim menangis terkenang arwah isteri

"Bagi saya kita dah habis-habis umur ini, tinggal 'belen' (baki) tiada perbezaan pun. Hanya kuatkan iman. Patutnya dah nak 'pergi' ini duduk rumah sajalah. Tak perlu nak berjalan-jalan,"katanya. 

Dalam pada itu, Harun mengakui masih meneruskan aktiviti hariannya menziarahi pusara arwah isterinya, Allahyarham Sakinah Ganjali yang meninggal dunia pada November 2024.

Katanya, dia juga memilih untuk menetap berhampiran tanah perkuburan bagi memudahkan urusan ziarah.

“Saya sudah dua tahun berseorangan di rumah. Setiap hari saya ke kubur isteri saya, itu sebab saya duduk dekat dengan tanah perkuburan isteri saya.

Harun masih menziarahi pusara arwah isterinya setiap hari. 

“Saya sayang dia. Orang nak kata apa pun, katalah. Saya memang cari rumah yang dekat dengan kubur supaya senang saya pergi ziarah tapi kalau saya ‘shooting’ balik malam, tiadalah saya pergi. Takkan mahu ke kubur pada sebelah malam,” katanya. 

Harun adalah antara penggiat seni yang turut menerima sumbangan pada majlis berkenaan. Artis lain yang turut menerima sumbangan ialah Cico, Ayai, Elyana, Asheed, Jalil Hamid, Ann Ways, Dr Sam dan Shamsul Ghau Ghau.

Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama strategik Yayasan Prihatin menganjurkan Iftar Jiwa Prihatin bagi menghargai jasa serta menyantuni golongan penggiat seni dan pengamal media yang sedang berhadapan dengan ujian hidup seperti masalah kesihatan.

 

Artikel Lain