suria

Umur 16 tahun sudah habis sekolah... Ibu bapa jangan risau, tempoh persekolahan kanak-kanak masuk darjah satu umur 6 tahun masih sama

Kanak-kanak yang memasuki darjah satu pada usia enam tahun akan menamatkan pendidikan menengah pada usia 16 tahun.

KANAK-KANAK yang didaftarkan sebagai murid darjah satu pada usia enam tahun tetap akan mengikuti tempoh persekolahan yang normal seperti sebelum ini.

Menurut Kementerian Pendidikan (KPM) dalam dokumen Soalan Lazim (FAQ), murid-murid tetap akan belajar di sekolah rendah selama enam tahun, disusuli pendidikan menengah untuk tempoh lima tahun.

"Struktur pendidikan tidak dipendekkan dan tidak diubah. Hanya umur kemasukan tahun satu sahaja berbeza," jelas KPM.

Justeru murid-murid yang mengikuti kemasukan awal ke darjah satu pada usia enam tahun dijangka menamatkan pendidikan peringkat menengah pada usia 16 tahun.

KPM berkata, terdapat dua kriteria untuk menentukan kanak-kanak yang dianggap bersedia untuk kemasukan awal ke tahun satu.

"Kesediaan itu merujuk kepada kanak-kanak yang mengikuti prasekolah pada umur lima tahun (4+) dan lulus saringan diagnostik yang ditetapkan KPM.

"Saringan ini bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan pembelajaran dan kebolehsuaian kanak-kanak terhadap pembelajaran formal," kata KPM lagi.

Fadhlina berkata KPM bakal menyediakan bilik darjah tambahan dan prasarana lain secara bersasar.

Keputusan kemasukan awal ini dibuat melalui gabungan keputusan saringan diagnostik KPM dan pilihan ibu bapa secara sukarela.

Malah, KPM mengingatkan orang ramai bahawa kemasukan awal tidak berlaku secara automatik dan bukan dibuat sewenang-wenangnya.

"Setelah kanak-kanak diterima masuk ke Tahun Satu pada umur enam tahun, mereka akan mengikuti persekolahan sepanjang tahun berkenaan selaras dengan struktur sedia ada.

"Sepanjang tempoh ini, perkembangan murid akan dipantau oleh sekolah. Sokongan pembelajaran bersesuaian akan diberikan bagi membantu murid menyesuaikan diri," kata KPM.

KPM juga menyediakan Kurikulum Persekolahan 2027 bagi memastikan asas literasi, numerasi dan kemahiran pembelajaran murid tidak terjejas serta disesuaikan dengan tahap kognitif mereka.

"Kurikulum ini memastikan semua murid termasuk yang memasuki Tahun Satu pada umur enam tahun berupaya menguasai kemahiran asas sebelum meneruskan pembelajaran ke tahap seterusnya," ujar KPM lagi.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM juga akan menyediakan prasarana mencukupi bagi pelaksanaan kemasukan murid pada tahun 2027.

"KPM sedang menambah kelas prasekolah di seluruh negara. Perancangan turut dilakukan untuk menyediakan bilik darjah tambahan dan prasarana lain secara bersasar. 

"Keperluan tambahan guru juga sedang ditangani secara proaktif," ujarnya menerusi Facebook.

Artikel Lain