suria

Petinju Muay Thai meninggal dunia dirempuh trak pikap ketika berjoging

Keadaan trak pikap terbabit yang terbabas dan terbalik di bahu jalan. -Foto PDRM Gua Musang

SEORANG petinju Muay Thai maut selepas dirempuh sebuah trak pikap ketika sedang berjoging di Kilometer 4, Jalan Gua Musang-Sungai Terah, Kelantan pada petang Rabu.

Dalam kejadian sekitar 6.05 petang itu, mangsa, Mohamad Nabil Mohamad, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tercampak sejauh kira-kira 40 meter akibat rempuhan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, berkata pihaknya menerima makluman mengenai kejadian berkenaan daripada orang awam pada pukul 6.30 petang.

Jelasnya, siasatan awal mendapati pemandu trak pikap jenis Toyota Hilux berusia 33 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Sungai Terah menghala ke Gua Musang sebelum dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

"Akibat kejadian itu, kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan dan melanggar mangsa yang sedang berjoging bersama rakannya.

"Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 40 meter manakala trak pikap terbabit terbabas dan terbalik di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Sik, mangsa disahkan meninggal akibat cedera parah, manakala rakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 09-9121222 atau 019-9144855.

Artikel Lain