SEORANG lelaki ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai anggota polis dan melakukan serangan seksual ke atas remaja perempuan berusia 17 tahun.Kejadian dilaporkan berlaku di jalan Datuk Seri Haji Mohd Zain di Cheng, Melaka. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditangkap pada pukul 6.30 petang, Selasa.Menurut beliau, kegiatan suspek terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis mendakwa ditahan lelaki terbabit ketika menunggang motosikal kira-kira pukul 2 pagi, Ahad lalu."Ketika itu pengadu yang bekerja sebagai juruwang sebuah pasar raya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Klebang Melaka melalui jalan Datuk Seri Haji Mohd. Zain di Cheng."Tiba-tiba dia didatangi suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis."Suspek meminta kad pengenalan pengadu sebelum mengambil gambar menggunakan telefon bimbitnya," katanya.Christopher berkata, suspek turut meminta gadis tersebut membuka telefon bimbit untuk diperiksa dan telah menekan butang follow di aplikasi Tiktok mangsa."Suspek meminta mangsa untuk memuaskan nafsunya jika tidak mahu dikenakan saman sebelum dia beredar."Susulan itu, gadis berkenaan hadir ke balai polis untuk membuat laporan kerana bimbang keselamatan diri dan mahu tindakan diambil penguat kuasa."Hasil siasatan, kita berjaya menjejaki suspek dan dia ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota polis," ujarnya.