BEKAS Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan selesai membayar wang jaminan sebanyak RM250,000.Beliau bagaimanapun enggan memberi sebarang komen berhubung empat pertuduhan rasuah melibatkan dirinya ketika ditemui meninggalkan perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. Terdahulu, Muhammad Hafizuddeain, 58, yang diiringi dua individu lain, meninggalkan mahkamah sekitar pukul 3 petang.ARTIKEL BERKAITAN: Panglima Tentera Darat bercuti serta-merta hingga siasatan SPRM selesaiBeliau dan isteri ketiganya, Salwani Anuar, 27, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima hasil aktiviti haram membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM2.19 juta.Mahkamah kemudian menetapkan 30 Mac ini bagi sebutan semula kes untuk kedua-duanya.Dalam pada itu, Salwani meninggalkan mahkamah sekitar pukul 12.48 tengah hari dengan menaiki kerusi roda akibat masalah bisul kronik pada bahagian paha selepas selesai membayar jaminan RM30,000.Semasa prosiding pendakwaan, Salwani dibenarkan duduk dalam kandang tertuduh kerana kesakitan akibat bisul kronik yang dialaminya.Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad membenarkan tertuduh duduk susulan peguam bela, Fahmi Abd Moin memohon supaya anak guamnya tidak perlu berdiri untuk menjawab pertuduhan.Salwani yang sebelum itu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) pada pukul 8.20 pagi dengan memakai abaya, kasut dan cermin mata serba hitam, dibawa ke bilik Mahkamah Sesyen 8 di aras dua Kompleks Mahkamah menggunakan kerusi roda.Mengikut prosedur, tertuduh akan dipanggil untuk memasuki kandang tertuduh dan diminta berdiri ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya, sebelum menjawab dakwaan berkenaan.