suria

Sesuai ke kanak-kanak umur 6 tahun masuk darjah 1? Ini panduan ibu bapa kenal pasti tahap kesiapsiagaan anak

Kesiapsiagaan sekolah melibatkan pelbagai aspek penting termasuk keupayaan untuk fokus dan mengikut arahan. -Gambar hiasan AI

KESIAPSIAGAAN kanak-kanak untuk memasuki Tahun Satu tidak seharusnya dinilai berdasarkan umur semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira tahap perkembangan menyeluruh kanak-kanak tersebut.

Perunding Pendidikan Khas dan Neurodiversiti, Dr Julie Safri, berkata ia disebabkan setiap anak berkembang pada kadar yang berbeza dengan ada yang cepat atau perlahan dan perkara itu adalah normal.

"Kajian perkembangan kanak-kanak menunjukkan bahawa kesiapsiagaan sekolah melibatkan pelbagai aspek penting.

"Ia termasuk perkembangan bahasa, kebolehan berfikir, kawalan emosi, kemahiran sosial serta keupayaan untuk fokus dan mengikut arahan," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Menguasai kemahiran asas adalah penting bagi setiap murid. -Gambar hiasan AI Menguasai kemahiran asas adalah penting bagi setiap murid. -Gambar hiasan AI 

Dr Julie menjelaskan, bagi kanak-kanak yang mula bersekolah seawal usia empat atau lima tahun, mereka sepatutnya menunjukkan asas literasi yang jelas apabila memasuki usia enam atau tujuh tahun.

Antara kemahiran asas yang sepatutnya dikuasai termasuk:

- Mengenal huruf dan bunyi

- Membaca perkataan mudah

- Menulis nama sendiri dan ayat ringkas

- Memahami arahan bertulis

- Mampu memberi tumpuan lebih lama

- Berinteraksi dengan guru dan rakan secara matang

Beliau turut menyentuh cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak yang hanya memulakan persekolahan pada usia enam tahun, terutamanya apabila sistem pendidikan tidak menyediakan tempoh penyesuaian yang mencukupi.

"Jika kemahiran asas ini masih belum terbina, itu bukan soal lambat matang semata-mata. Ia tanda anak memerlukan sokongan yang lebih tepat dan berstruktur.

"Tak kira berapa banyak dasar baru diperkenalkan, tak kira betapa cantik polisi itu di atas kertas, jika pendekatan, latihan guru dan amalan di bilik darjah masih sama, hasilnya pun akan tetap sama," katanya.

Katanya, apabila seseorang murid masih tidak boleh membaca pada usia yang sepatutnya mereka sudah boleh membaca, menulis dan memahami, itu bukan kebetulan, sebaliknya petanda ada isu asas yang perlu dikenal pasti dan ditangani.

"Isunya satu saja. Bagaimana literasi diajar dan disokong. Struktur boleh diperbetulkan melalui polisi. Hasil pembelajaran ditentukan oleh pedagogi," katanya.

Artikel Lain