ISU nafkah anak tidak sah taraf sering menjadi persoalan terutama bagi ibu tunggal yang terpaksa menanggung anak tanpa sokongan bapa biologi. Ramai wanita merasa keliru dan kecewa apabila mahkamah atau undang-undang syariah tidak membenarkan mereka menuntut nafkah daripada bapa anak yang lahir di luar perkahwinan. Seorang peguam syarie memaklumkan masih ramai yang tidak mengetahui bahawa bapa biologi tidak diwajibkan menanggung nafkah anak yang tidak sah taraf."Bapa biologi tidak wajib menanggung nafkah anak tidak sah taraf. Nafkah anak tidak sah taraf adalah di bawah tanggungan ibu kandung," katanya.Jelasnya, ramai wanita menyalahkan mahkamah dan menyuarakan rasa kecewa terhadap undang-undang sedia ada kerana disifatkan tidak adil.Peguam syarie itu menasihatkan agar masyarakat memahami konteks undang-undang syariah dan tujuan peruntukannya."Sebelum salahkan undang-undang, kita kena muhasabah diri dulu sebab itu Islam sangat larang mendekati zina."Ini salah satu bentuk pengajaran dan kesan zina," katanya.Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa anak tak sah taraf hanya boleh dinasabkan kepada ibu dan tidak kepada bapa biologinya. Hal itu juga disebut secara jelas oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa anak itu tidak boleh mewarisi, menjadi mahram, atau wali bagi sesiapa yang mengaku bapa."Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Seksyen 80, membenarkan mahkamah memerintahkan ibu membayar nafkah anak tak sah taraf jika terbukti enggan berbuat demikian."Kecuali anak tersebut lahir akibat rogol," katanya.