suria

Kereta terasa berat, lelaki bawa daging mentah waktu malam diganggu lembaga hitam - “Saya nampak ‘dia’ cuba buka boot”

Perjalanan pada waktu malam sering dikaitkan dengan pelbagai pengalaman mistik terutamanya ketika melalui jalan yang sunyi. -Gambar hiasan AI

PANTANG larang orang lama kadangkala dipandang remeh, namun ada yang percaya setiap nasihat itu hadir daripada pengalaman dan pemerhatian generasi terdahulu.

Segelintir masyarakat masih berpegang bahawa ada perkara tertentu yang wajar dielakkan, terutama ketika berada di luar rumah pada waktu malam.

Antaranya termasuklah pantang larang membawa daging mentah yang belum dicuci ketika perjalanan pada waktu malam.

Bagi seorang lelaki, dia pada mulanya tidak begitu mempercayai pantang larang tersebut sehingga mengambil keputusan untuk mengujinya sendiri.

Menerusi perkongsian di sebuah podcast, lelaki itu mengakui dia seorang yang sukar mempercayai sesuatu perkara sekiranya tidak pernah mengalaminya sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami kerasukan, cakar pintu bilik rahsia dalam rumah... Penemuan tangkal akhirnya bongkar perbuatan sihir isteri!

"Saya jenis yang tak percaya kalau tak alami benda tu. Jadi untuk buktikan, saya cuba buat. Salah satunya, bawa daging mentah waktu malam," kongsinya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika dia dalam perjalanan dari kampungnya menuju ke Kota Kinabalu, Sabah dengan jarak kira-kira 100 kilometer.

Ketika itu kebetulan kampungnya sedang mengadakan ibadah korban dan dia membawa pulang daging yang masih segar.

Walaupun mengetahui pantang larang tersebut, dia tetap meneruskan niat untuk menguji kebenarannya.

Dia bertolak pulang seorang diri sekitar pukul 10 malam dengan membawa daging mentah yang telah dibungkus dan diletakkan di dalam boot kereta.

Namun kira-kira sejam perjalanan, lelaki itu mula merasakan sesuatu yang tidak kena.

"Dalam sejam perjalanan ada rasa gangguan. Kereta tiba-tiba jadi berat tapi saya buat biasa saja. Apabila naik bukit, gear satu pun tak lajak. Macam ada orang tekan dari belakang," katanya.

Situasi menjadi semakin menyeramkan apabila dia tiba-tiba terhidu bau busuk yang tidak dapat dipastikan puncanya.

Walaupun cuba berfikiran positif, matanya secara tidak sengaja terpandang ke arah cermin pandang belakang.

Ketika itulah dia mendakwa terlihat sesuatu yang membuatkan bulu romanya meremang.

"Saya nampak lembaga berwarna hitam legam. Dia berada di bahagian boot belakang dan seolah-olah cuba mengambil daging di dalam boot," ujarnya.

Cerita individu itu lagi, dia enggan mengikuti petua yang menasihatkan supaya berhenti dan membuang sebahagian kecil daging mentah jika berdepan situasi sedemikian.

"Saya tak buat sebab takut punya pasal. Saya teruskan perjalanan sambil baca doa dan selawat. Sampailah saya jumpa ada lori berhenti tepi jalan, saya pun berhenti dan tunggu hingga Subuh," ujarnya.

Katanya, pemandu lori yang berada di situ turut menegurnya kerana wajahnya kelihatan pucat.

"Apa-apa pun pantang larang orang tua mungkin ada betulnya. Ini jadi pengajaran untuk saya juga," katanya mengakhiri perkongsian tersebut.

Pengguna Tiktok dikenali sebagai Carlos Basri berkongsi petua orang tua ketika membawa daging mentah pada waktu malam.

Ternyata pantang larang berkenaan bukan sesuatu yang luar biasa, apabila seorang perawat kesihatan alternatif, Carlos Basri, turut tampil membuat perkongsian di TikTok.

Lelaki tersebut mengakui segelintir individu masih mempercayai pantang larang berkenaan biar pun kedengaran janggal.  

"Tak kira apa jenis daging, makanan berdarah, kita bawa dalam kenderaan di waktu malam contohnya nak balik kampung. Kita perlu hati-hati.

"Ada masanya kenderaan kita boleh jadi berat, macam ada muatan lebih. Ada yang 'kena', ada yang tak 'kena'. Yang biasa, dia tahu ia disebabkan ada 'benda' ikut," ujarnya.

Justeru, dia turut berkongsi petua yang diperturunkan orang tua sebagai panduan bersama. 

"Ini hanyalah petua... terpulang untuk percaya atau sebaliknya. Tiada kaitan dengan mana-mana agama. Boleh juga baca ayat-ayat suci," ujarnya.

Petua ketika membawa daging mentah waktu malam:

- Letakkan daun limau purut bersama dalam bekas daging yang kita bawa, bertujuan supaya daging tahan lama dan tidak berbau hanyir.

- Jika berdepan dengan 'gangguan' sedemikian, berhenti dan singgah sebentar di mana-mana lokasi selamat, ambil sedikit daripada daging berkenaan dan letakkan di luar.

Artikel Lain