suria

Bingkai gambar dijual peniaga Pakistan ada penunggu! Tertarik kepada bayi baru lahir - “Ustaz cakap benda tu lapar”

Orang tua-tua sering mengingatkan supaya berhati-hati terutama apabila terdapat bayi atau ibu yang baru bersalin di rumah bagi mengelakkan kejadian tak diingini. -Gambar hiasan AI

SELAMA lebih 16 tahun, sebuah keluarga hidup dalam keadaan tidak tenteram apabila rumah mereka sering diganggu kejadian aneh yang sukar dijelaskan.

Kisah itu dikongsikan oleh seorang individu di Threads dengan mendakwa segala-galanya bermula selepas bapanya membeli sebuah bingkai gambar daripada peniaga warga Pakistan yang menjual barangan dari rumah ke rumah, sekitar tahun 2010.

Menurutnya, pada awalnya tiada apa yang mencurigakan berlaku.

Namun selepas beberapa ketika, suasana di rumah mula terasa pelik seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

Detik paling menyeramkan berlaku ketika ibunya yang baru bersalin berada bersendirian bersama adik kecilnya di ruang tamu rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta terasa berat, lelaki bawa daging mentah waktu malam diganggu lembaga hitam - “Saya nampak ‘dia’ cuba buka boot”

"Malam tu ibu duduk di ruang tamu sebab panas, jadi dia buka pintu depan. Saya dan kakak pergi mengaji selepas Maghrib, ayah pula ke masjid.

"Tak lama selepas pintu dibuka, adik yang masih bayi tiba-tiba menangis. Ibu buatkan susu untuk dia, tapi tiba-tiba ada seorang nenek tua duduk di bawah frame yang ayah beli tu," kongsinya.

Tambahnya, ibunya terkejut dan tidak keruan apabila melihat kelibat wanita tua itu yang duduk berhadapan sambil tersenyum.

Lebih menyeramkan, entiti tersebut dikatakan mengusap kepala adik kecilnya sebelum hilang sekelip mata sebaik sahaja bapanya pulang dari masjid.

Amalan harian seperti memperbanyakkan doa dan membaca ayat-ayat suci al-Quran dapat mengelakkan terjadinya gangguan mistik. -Gambar hiasan AI

Selepas kejadian itu, gangguan lain pula berlaku dan hampir setiap malam kedengaran bunyi seperti sesuatu yang besar berjalan di atas siling rumah.

Bimbang dengan keadaan tersebut, bapanya kemudian memanggil seorang ustaz untuk membantu 'memagar' rumah mereka.

"Tapi ustaz tu tak cakap apa-apa pun asal usul benda tu dari mana. Ustaz cuma cakap benda tu lapar dan suka kalau ada bayi baru lahir," ceritanya. 

Misteri yang menghantui keluarganya akhirnya terungkai tahun ini apabila kakaknya tiba-tiba dirasuk.

"Waktu ni baru kami semua tahu.... rupanya dekat belakang frame tu ada satu kain lusuh. Nak cakap tulisan jawi pun tidak. Tapi memang pelik, macam mantera yang ditulis atas kain yang lusuh.

"Kami pecahkan baru boleh ambil ya. Lepas tu ustaz bakar dan buang frame tu," ceritanya.

Sejak daripada itu, gangguan yang menghantui rumah mereka selama berbelas tahun dikhabarkan hilang sepenuhnya.

"Dah tak ada bunyi atas siling, dah tak rasa macam diperhatikan dan kelibat nenek tua tu pun tak pernah nampak lagi," ujarnya.

Dia turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sebelum membeli barangan yang tidak diketahui asal-usulnya kerana bimbang perkara sama berlaku kepada orang lain.

Artikel Lain