suria

Jangan jadi hamba media sosial, ‘hanyut’ buat persiapan raya... Ini 10 ‘checklist’ skor pahala fasa terakhir Ramadan

Fasa terakhir Ramadan adalah peluang untuk meraih pahala berlipat kali ganda. -Gambar hiasan AI

PEJAM celik, hari ini umat Islam sudah pun memasuki fasa terakhir bulan Ramadan.

Dalam kesibukan membuat persiapan menyambut Aidilfitri, umat Islam diingatkan agar tidak hanyut dengan perkara duniawi semata-mata. 

Sebaliknya, inilah waktu terbaik untuk melakukan pecutan terakhir dalam ibadah bagi 'memborong' sebanyak mungkin pahala.

Lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir Ramadan, Allah SWT menjanjikan kemuliaan malam Lailatul Qadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai mula perasan, tertanya-tanya kenapa imam beralih tempat apabila nak solat sunat? Lepas ni kita kena buat juga!

Sehubungan itu, berikut merupakan 10 blueprint yang boleh dijadikan panduan untuk memaksimumkan amalan sepanjang fasa terakhir Ramadan, sebagaimana dikongsikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

1. Berhenti jadi 'zombi' media sosial

Simpan telefon buat sementara waktu. Ramai yang leka menonton siaran langsung atau kandungan media sosial, khususnya berkaitan persiapan raya. Namun dalam masa sama, kita mungkin terlepas masa bersama-Nya.

Kita diingatkan untuk tidak terlalu leka menghabiskan masa membelek telefon bimbit, sebaliknya memperbanyakkan amal ibadah. -Gambar hiasan AI

2. Sedekah sekurang-kurangnya RM1 setiap malam

Walaupun jumlahnya kecil, amalan sedekah yang dilakukan secara konsisten sepanjang 10 malam terakhir sangat besar ganjarannya.

Jika sedekah itu bertepatan dengan malam Lailatul Qadar, pahala yang digandakan seolah-olah seseorang itu bersedekah selama lebih 83 tahun berturut-turut.

3. Solat Isyak dan Subuh secara berjemaah

Rasulullah SAW menyebut bahawa sesiapa yang menunaikan solat Isyak secara berjemaah, ganjarannya seperti menghidupkan separuh malam.

Jika seseorang itu turut menunaikan solat Subuh secara berjemaah, pahalanya seolah-olah beribadah sepanjang malam. [Sahih Muslim dan juga diriwayatkan oleh Jami' at-Tirmizi]

4. Kurangkan menu iftar 'kayangan'

Hidangan berbuka yang terlalu berat dan berlebihan boleh menyebabkan rasa mengantuk ketika menunaikan solat tarawih.

Sebaiknya berhenti makan sebelum terlalu kenyang. Matlamat utama Ramadan adalah mengejar ganjaran akhirat, bukan sekadar memenuhi selera.

5. Amalkan doa memohon keampunan

Umat Islam juga digalakkan menghafal dan mengamalkan doa yang sangat dianjurkan pada malam-malam terakhir Ramadan, iaitu:

Allahumma innaka 'afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'anni (Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku)

Bersedekah secara konsisten amat digalakkan pada bulan Ramadan, terutamanya menjelang 10 malam terakhir. -Gambar hiasan AI

6. Jaga lisan dan pendengaran

Ibadah pada waktu malam tidak akan memberi manfaat sekiranya pada waktu siang kita masih melakukan dosa seperti mengumpat, memfitnah atau mengutuk orang lain.

7. Muhasabah dan checklist dosa

Luangkan masa bersendirian untuk bermuhasabah. Akui segala kesilapan dan dosa yang pernah dilakukan sepanjang tahun.

Menangis dan memohon keampunan kepada Allah dengan penuh keinsafan merupakan antara tanda hati yang benar-benar ingin kembali kepada-Nya.

8. Jadikan al-Quran sahabat rapat

Bagi yang belum sempat mengkhatamkan al-Quran, jangan jadikan ia alasan untuk tidak membacanya langsung.

Walaupun sedikit, bacalah dengan memahami maknanya agar ayat-ayat tersebut benar-benar meresap ke dalam hati.

9. Disiplin waktu tidur

Elakkan berjaga sehingga lewat malam tanpa tujuan. Sebaiknya tidur lebih awal selepas solat tarawih supaya tubuh mendapat rehat secukupnya.

Dengan itu, kita mempunyai tenaga yang segar untuk bangun pada sepertiga malam terakhir bagi beribadah dan berdoa kepada Allah.

10. Fokus kepada matlamat sebenar

Jangan sampai terlalu sibuk menguruskan persiapan raya sehingga kita mengabaikan ibadah dan peluang besar yang hadir hanya sekali setahun ini.

Firman Allah SWT dalam al-Quran, maksudnya:

Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. (Surah Al-Qadr: 3)

Daripada Aisyah RA, katanya:

Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya) [Riwayat Muslim]

Justeru, rebutlah peluang pada 10 malam terakhir Ramadan ini dengan memperbanyakkan amal ibadah agar kita tidak termasuk dalam kalangan yang rugi.

Artikel Lain