suria

Ramai mula perasan, tertanya-tanya kenapa imam beralih tempat apabila nak solat sunat? Lepas ni kita kena buat juga!

Hantaran tular memaparkan seorang imam menunaikan solat sunat ba'diyah Isyak di sebelah sejadahnya.

TULAR di media sosial apabila satu hantaran memperlihatkan seorang imam beralih sedikit ke sebelah sejadah untuk menunaikan solat sunat selepas Isyak (ba'diyah) dan sebelum bermulanya solat tarawih.

Pergerakan ringkas itu menarik perhatian sebahagian jemaah dan netizen yang tertanya-tanya mengenai sebab imam tersebut tidak meneruskan solat di tempat yang sama.

"Kenapa imam tu tak solat saja dekat sejadahnya?" getus pertanyaan yang mungkin terlintas di kepala.

Namun sebenarnya, perbuatan beralih tempat untuk solat sunat adalah amalan sunat yang sangat digalakkan di dalam Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: Sah ke solat kalau saf renggang? Ustazah Asma’ Harun jawab isu jemaah wanita ‘pilih tempat’, rupanya ramai salah faham!

Perkara itu dijelaskan dengan tuntas di laman web Mufti Wilayah Persekutuan, memetik hadis sahih dan pendapat ulama.  

1) Dalam kitab Sahih Muslim, terdapat riwayat yang menyebut pesanan Muawiyah RA kepada al-Sa'ib Ibn Ukh Namir, maksudnya: Jika engkau solat Jumaat, maka janganlah engkau sambung dengan suatu solat (nafilah) sehingga engkau berkata-kata (dengan seseorang) atau engkau keluar.

Ini kerana Rasulullah SAW telah menyuruh kami melakukan hal itu, yakni tidak disambung solat dengan solat sehingga seseorang itu berkata-kata atau keluar.' [Riwayat Muslim (883)]

Mengalih tempat solat sememangnya amalan sunnah yang digalakkan. -Gambar hiasan AI

2) Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Syarah Sahih Muslim (6/171) berkata: Ini adalah dalil pada mana disebutkan oleh fuqaha al-Syafieyyah bahawa sebelum ditunaikan sunat rawatib dan selainnya adalah disunatkan untuk beralih daripada tempat ditunaikan solat fardu ke tempat yang lain.

Paling afdal ialah beralih menunaikan solat di rumah, dan melainkan tempat lain yang dimaksudkan itu adalah masjid atau selain masjid agar supaya diperbanyakkan tempat-tempat sujud.

Ini kerana untuk memisahkan antara pelaksanaan solat fardu dengan solat sunat.

Imam al-Nawawi juga menyebut dibolehkan dengan hanya berbicara, kerana ia menunjukkan pemisahan antara kedua-dua solat fardu dan sunat, akan tetapi beralih atau berpindah tempat adalah lebih afdal sepertimana yang kami sebutkan sebelum ini.

3) Imam al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj (1/552) berkata: Dan adalah disunatkan untuk beralih tempat bagi menunaikan solat sunat atau fardu daripada tempat yang telah ditunaikan solat fardu atau solat sunat ke tempat yang lain agar diperbanyakkan tempat-tempat sujud.

Ini kerana banyaknya tempat sujud akan menjadi saksi (di akhirat kelak). Dan agar untuk menghidupkan tanah (tempat sujud) dengan ibadah.

Maka sekiranya tidak berpindah ke tempat yang lain maka boleh dilakukan dengan bercakap atau berbicara sesama manusia.

Kesimpulannya, hikmah di sebalik amalan ini adalah:

- Membezakan fardu dan sunat: Supaya tidak timbul kekeliruan atau sangkaan bahawa solat sunat itu adalah sebahagian daripada solat fardu.

- Memperbanyakkan saksi di akhirat: Setiap tempat yang kita gunakan untuk sujud akan menjadi saksi kebaikan kita di hari akhirat kelak. Dengan beralih tempat, kita 'mewartakan' lebih banyak titik di bumi sebagai saksi ibadah kita.

- Mengikut sunnah: Melaksanakan pesanan Nabi Muhammad SAW untuk memberi sedikit ruang (sama ada dengan zikir, bercakap, atau beralih posisi) antara dua solat.

Artikel Lain