suria

Bermula malam ini disunatkan baca doa qunut witir... Ini panduan lengkap, solat sendiri di rumah pun boleh ikut

Doa qunut sunat untuk dibaca bermula malam 16 Ramadan. -Gambar hiasan AI

SEDAR tak sedar, malam ini (Khamis) kita sudah memasuki fasa 15 malam terakhir di bulan Ramadan.

Memetik laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, di dalam mazhab al-Syafie, bermula pada malam ke-16 Ramadan disunatkan kepada imam masjid atau individu yang solat bersendirian untuk membaca doa qunut pada rakaat terakhir solat sunat witir.

Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Hasan bin Ali RA di dalam Jami' al-Tirmizi dan juga di dalam Sunan Abi Daud, maksudnya:

"Rasulullah SAW telah mengajarku beberapa perkataan untuk aku sebut di dalam witir, 'Ya Allah Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepadaku petunjuk di kalangan mereka yang mendapat petunjuk-Mu...'" [Riwayat al-Tirmizi (464)]

ARTIKEL BERKAITAN: Baru bertunang dah ‘feeling’ nak bayar zakat fitrah untuk bakal isteri... Sah atau hanya sia-sia?

Ini bermakna, bermula malam ini, kita disunatkan untuk mula membaca doa qunut pada rakaat terakhir solat sunat witir.

Untuk makluman, doa qunut yang dibacakan adalah sama seperti bacaan semasa solat Subuh.

Bagaimana caranya?

Niat solat witir seperti biasa, pada rakaat terakhir, selepas bangun daripada rukuk dan iktidal, berdiri tegak dan bacalah doa qunut. Apabila selesai, sujud seperti biasa.

Jika tak baca?

Dalam mazhab Syafie, bacaan qunut pada separuh kedua Ramadan hukumnya sunat ab'ad. Maknanya, sekiranya terlupa atau tak membaca doa qunut, solat witir tetap sah.

Namun rugi jika tak rebut pahala sunnah yang besar ini.

Lantang bacaan

Sekiranya solat bersendirian, disunatkan membaca secara perlahan iaitu sekadar didengari telinga sendiri. Namun sekiranya solat jemaah, imam disunatkan membaca secara kuat (jahar).

Jika terlupa?

Andai kata teringat ketika sudah sujud, tak perlu bangun semula. Teruskan solat seperti biasa.

Sebagai ganti, anda disunatkan membuat sujud sahwi dua kali sebelum memberi salam untuk 'menampung' kekurangan tersebut.

Artikel Lain