suria

Baru bertunang dah ‘feeling’ nak bayar zakat fitrah untuk bakal isteri... Sah atau hanya sia-sia?

Pembayaran zakat fitrah ke atas individu bukan tanggungan tidak diharuskan melainkan setelah mendapat keizinan daripadanya. -Gambar hiasan AI

SETIAP kali tibanya Ramadan, ibadah zakat fitrah menjadi antara kewajipan untuk ditunaikan umat Islam.

Ia bukan sekadar pelengkap ibadah puasa, malah simbol penyucian diri dan penyempurna amalan sepanjang bulan mulia, selain berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

Kebiasaannya, kita sering mendengar bahawa bayaran zakat fitrah dibuat untuk diri sendiri serta individu di bawah tanggungan seperti isteri, anak-anak dan ibu bapa yang wajib dinafkahi.

ARTIKEL BERKAITAN: Sah ke solat kalau saf renggang? Ustazah Asma’ Harun jawab isu jemaah wanita ‘pilih tempat’, rupanya ramai salah faham!

Namun timbul persoalan dalam kalangan masyarakat, bolehkah seseorang itu membayar zakat fitrah untuk orang lain seperti tunang?

Memetik penjelasan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menurut Syeikh Muhammad Zuhaili dalam kitabnya, tidak diharuskan bagi seseorang menunaikan zakat fitrah bagi pihak orang lain (ajnabi) melainkan setelah mendapat keizinan daripadanya.

Ini kerana zakat fitrah merupakan satu bentuk ibadah dan ia tidak akan tertunai melainkan dengan izin individu tersebut.

Zakat fitrah merupakan simbol penyucian diri di samping berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan. -Gambar hiasan AI

Namun, sekiranya mendapat keizinan, maka sah dan tertunailah zakat fitrah berkenaan. (Lihat: al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/102)

Berdasarkan penjelasan itu, adalah dibolehkan untuk menunaikan zakat fitrah bagi tunang atau mana-mana individu yang bukan di bawah tanggungan, dengan syarat mendapat persetujuan mereka terlebih dahulu.

Utamakan diri dan tanggungan

Walau bagaimanapun, umat Islam digalakkan untuk mengutamakan pembayaran zakat fitrah bagi diri sendiri serta individu di bawah tanggungan daripada golongan usul dan furu' yang tidak berkemampuan.

Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Muhammad SAW bersabda:

Maksudnya: "Sebaik-baik sedekah adalah selepas mencukupi keperluan, dan mulailah daripada orang-orang yang berada di bawah tanggunganmu,"

(Hadis Riwayat Muhammad al-Bukhari, 1426)

Justeru, jika berhasrat untuk membayar zakat fitrah bagi tunang, pastikan keizinan diperoleh dan dalam masa sama tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap diri sendiri serta mereka yang berada di bawah tanggungan.

Artikel Lain