suria

Ramai tak sedar peti sejuk boleh jadi punca penyakit dalam rumah! Ini 3 kesilapan paling kerap dibuat tanpa sedar

Cara susunan makanan dan barangan yang betul di dalam peti sejuk boleh mengelakkan pencemaran silang. -Gambar hiasan AI

ISU keselamatan makanan di rumah sering dipandang remeh.

Antaranya, ramai dalam kalangan kita menyangka selagi makanan disimpan di dalam peti sejuk, ia selamat dan tahan lama.

Hakikatnya, jika tersilap cara penyimpanan, peti sejuk boleh menjadi kilang pembiakan bakteria tanpa kita sedar.

Perkongsian daripada Public Health Malaysia ini membuka mata tentang tiga kesilapan biasa yang boleh mengundang bahaya kepada seisi keluarga.

1. Titisan darah

Ini antara kes paling kerap berlaku di rumah. Ayam, ikan atau daging mentah hanya dibalut plastik nipis, kemudian diletakkan di rak atas.

Apabila ais mencair, air daging mentah yang mungkin mengandungi bakteria seperti Salmonella akan menitis perlahan-lahan ke rak bawah.

Lebih membimbangkan, titisan ini boleh terkena pada sayur, buah-buahan atau makanan lain yang tidak ditutup sempurna. Inilah yang dinamakan pencemaran silang, dan ia antara penyumbang utama kes keracunan makanan.

2. Pembiakan listeria

Ramai tahu kebanyakan bakteria akan menjadi tidak aktif dalam suhu sejuk. Namun berbeza dengan Listeria monocytogenes.

Bakteria ini mampu terus membiak walaupun dalam suhu peti sejuk.

Risikonya bukan kecil. Jangkitan Listeria boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk keguguran dalam kalangan ibu hamil dan jangkitan otak pada bayi.

Ia sering dikaitkan dengan produk tenusu tidak dipasteur, sosej serta sayur-sayuran yang tercemar.

Bahan mentah seperti ikan, daging, ayam dan makanan laut sewajarnya disimpan di dalam bekas bertutup. -Gambar hiasan AI

3. Menyumbat semua dalam peti sejuk

Tabiat menyumbat semua makanan dan barang mentah dalam peti sejuk hingga penuh juga satu kesilapan besar.

Apabila terlalu sesak, udara sejuk tidak dapat beredar dengan baik. Akibatnya, wujud kawasan tertentu yang menjadi lebih suam.

Suhu yang tidak sekata ini membuka ruang untuk bakteria kembali aktif dan membiak dengan cepat, sekali gus mempercepatkan kerosakan makanan walaupun belum sampai tarikh luput.

Jadi, bagaimana cara susunan yang betul?

Rak paling atas: Makanan sedia untuk dimakan seperti baki lauk, kek dan buah-buahan.

Rak paling bawah: Daging, ayam dan ikan mentah. Wajib disimpan dalam bekas bertutup rapat bagi mengelakkan titisan atau kebocoran.

Jangan jadikan peti sejuk sebagai inkubator senyap yang mengancam kesihatan keluarga. 

Susun dengan betul, simpan dengan cermat kerana kesilapan kecil boleh membawa padah besar.

Artikel Lain