MASALAH cermin kereta yang kabur akibat kesan tompokan air atau water spot sememangnya boleh mengundang rasa kurang selesa ketika memandu, lebih-lebih lagi pada waktu malam atau ketika hujan.Jika dibiarkan, ia bukan sahaja mencacatkan pandangan malah boleh menjejaskan tahap keselamatan pemandu. Lazimnya, pemilik kenderaan akan mendapatkan produk pembersih komersial yang dijual di pasaran bagi menghilangkan kesan degil tersebut.Namun tanpa disedari, terdapat cara lebih mudah, murah dan mesra alam yang boleh dilakukan sendiri di rumah menggunakan bahan semula jadi.Menerusi satu perkongsian oleh pengguna TikTok, @basriii53, dia menunjukkan cara berkesan menghilangkan kesan water spot hanya dengan menggunakan kulit nanas.Menurutnya, kaedah ini bukan sahaja membantu menanggalkan kesan kotoran degil, malah menjadikan permukaan cermin lebih jernih dan berkilat seperti baharu.Berikut langkah-langkah yang dikongsikan:- Kulit nanas dikisar terlebih dahulu bersama sedikit air.- Masukkan bahan kisar tersebut ke dalam kain seperti tuala kecil dan ikat kemas.- Lap kain berisi kulit nanas itu secara perlahan-lahan pada cermin hadapan kereta.- Akhir sekali, bilas cermin dengan air bersih.Hasilnya, kesan kabur semakin berkurangan dan permukaan cermin tampak lebih bersih serta berkilau.Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan untuk mencuba terlebih dahulu pada bahagian kecil cermin bagi memastikan kesesuaian, selain mengelakkan tekanan berlebihan ketika menggosok bagi mengelakkan calar halus.Jadi, sebelum berbelanja lebih untuk produk mahal, apa kata cuba dahulu petua mudah ini. Mana tahu, dengan hanya memanfaatkan bahan yang sedia ada di dapur, cermin kereta kembali bersih dan pemanduan pun jadi lebih yakin.