SEORANG wanita ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah akibat dikelar pada bahagian leher di sebuah asrama pekerja di Nilai, Negeri Sembilan, pada malam Isnin lalu.Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki berhubung kejadian itu pada pukul 11.21 malam melalui talian MERS 999. "Lelaki itu maklumkan berhubung penemuan seorang wanita warga asing lingkungan 30-an dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di tangga tingkat empat sebuah asrama pekerja asing."Pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati, mangsa mengalami kecederaan kelaran di bahagian leher dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Johari berkata, hasil pemeriksaan lanjut oleh pasukan forensik Bahagian D10 Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan menemukan kesan kelar berulang pada leher mangsa dipercayai menggunakan senjata tajam.Siasatan berhubung motif kejadian masih diteruskan dan polis tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada konflik peribadi atau isu kewangan berdasarkan maklumat awal yang diperoleh.Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran.