suria

“Kalau sambung mesin mak saya akan mati ke?” - Kadar survival di China rendah, kesan meracau sehingga setahun... doktor perjelas fungsi ventilator

Seorang petugas kesihatan sedang mengendalikan pesakit Covid-19 yang sedang menggunakan ventilator. Foto AP

SABAN hari kita diperdengarkan dengan perkembangan kes positif Covid-19 di negara ini termasuk kes kematian yang mencatatkan lebih 90 korban virus itu setakat ini.

Selain mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi, terdapat keadaan kesihatan pesakit yang merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan yang akhirnya meninggal dunia.

Kebimbangan itu turut disuarakan oleh seorang anak kepada pesakit Covid-19 kepada seorang doktor.

ARTIKEL BERKAITAN: Ngeri, geli tolak tepi! Doktor kongsi kisah jolok hidung, anak tekak buat ujian Covid-19 - “Segala lubang, muntah kami kena hadap”

ARTIKEL BERKAITAN: “Mereka panggil staf kami anjing, pencacai najis” - Doktor dedah sikap grup ‘turun dari kayangan’, ada petugas terpaksa berundur mengalah

“Doktor, kenapa mak saya kena sambung dengan mesin?” tanya seorang wanita.

“Sabar puan, kan tadi saya dah beritahu. Kandungan oksigen dalam badan mak puan tak cukup. Kami perlu masuk tiub dan sambungkan pada alat bantuan pernafasan,” jawabnya.

“Kalau dah sambung maknanya mak saya akan mati ke?” ujar wanita itu lagi yang jelas begitu bimbangkan keadaan kesihatan ibunya.



Dr Ahmad Samhan memberi penjelasan mengenai ventilator yang digunakan untuk pesakit Covid-19. Foto Facebook Ahmad Samhan

Situasi itu membuatkan seorang doktor tampil menjelaskan mengenai persoalan ramai mengenai fungsi sebenar alat bantuan pernafasan (ventilator) pada musim Covid-19.

Menurut Dr Ahmad Samhan, ventilator merupakan alat bantuan pernafasan yang digunakan bagi membantu pesakit bernafas ketika paru-paru tidak berfungsi dengan baik.

“Mudah cerita mesin ventilator berfungsi untuk meniup oksigen masuk ke dalam paru-paru supaya pertukaran oksigen dapat berlaku.

“Bila doktor akan gunakan ventilator? Apabila peningkatan kadar pernafasan, kesukaran bernafas dan peningkatan kadar karbon dioksida di dalam darah.

“Mesin ini juga membantu melembabkan serta menghangatkan udara yang disalurkan agar serasi dengan suhu badan pesakit,” ujarnya menerusi perkongsian di halaman Facebook yang dikongsi lebih 900 kali.

Mesin ventilator berfungsi untuk meniup oksigen masuk ke dalam paru-paru supaya pertukaran oksigen dapat berlaku.

DR AHMAD SAMHAN

Dr Ahmad Samhan turut menjelaskan mengenai kesudahan (prognosis) kepada pesakit Covid-19 yang menggunakan ventilator.

Beliau menjelaskan bahawa keadaan itu bergantung kepada kepakaran, peralatan dan teknologi.

Tambahnya, di China, tiga daripada 22 pesakit Covid-19 yang 'selamat' selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) atau menggunakan ventilator, iaitu 13.6 peratus kadar survival.

“Di Amerika Syarikat (AS), sembilan daripada 18 pesakit Covid-19 yang hidup selepas dimasukkan ICU/ventilator (kadar survival 50 peratus) dan di United Kingdom (UK), 33 daripada 98 pesakit Covid-19 yang hidup selepas dimasukkan ICU/ventilator (kadar survivak 33 peratus,” ujar Dr Ahmad Samhan.



Pesakit Covid-19 (kanan) yang dirawat menggunakan ventilator. Foto AP

Menurut beliau, terdapat kesan kepada pesakit Covid-19 yang telah sembuh di mana 75 peratus pesakit di ICU dilaporkan mempunyai masalah meracau yang teruk (severe delirium).

“25-50 peratus dilaporkan mempunyai masalah berfikir (cognitive impairment) sehingga setahun, 25 peratus dilaporkan mempunyai masalah lemah otot berpanjangan dan 10 peratus dilaporkan mempunyai tekanan (post traumatic stress disorder).

“90 peratus pesakit Covid-19 juga dilaporkan fungsi paru-paru mereka merosot selepas sembuh kerana sel paru-paru dah berparut (fibrosis), ” katanya.

Sehubungan itu, Dr Ahmad Samhan menasihatkan orang ramai untuk berada di rumah bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan virus.

“Duduklah di rumah dan bersyukurlah masih bernafas tanpa bantuan. Jika degil, mungkin kalian berpeluang berada di ICU dan merasai pengalaman bernafas dibantu oleh ventilator, ” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain