suria

Kali ini 52km kain nak siapkan ‘pakaian perang perwira’, Saiful Nang kongsi kisah anak yatim gigih bantu frontliners - “Sungai Buloh saja perlu 7,000 set PPE sehari”

Jelas Saiful Nang, kumpulan itu pada Isnin menerima kain fabrik non-woven berkepanjangan 52km untuk dihasilkan sebagai PPE. Foto: Facebook Saiful Nang.

ISU kekurangan kelengkapan perlindungan diri (PPE) dalam kalangan petugas hospital mendapat perhatian banyak pihak di negara ini.

Selain pereka fesyen terkenal, Datuk Radzuan Radziwill, penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) di Kajang, Selangor turut menjadi bualan ramai atas inisiatif murni mereka dalam menyediakan kelengkapan itu.

Menurut Pengasas Bersama RPWP, Saiful Nang, dia berterima kasih atas perhatian rakyat negara ini yang memandang kerja tangan yang dihasilkan oleh anak-anak yatim dan asnaf tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkesan lihat petugas hospital guna plastik lindungi diri, Radzuan Radziwill jahit sendiri PPE

"Minggu lalu, selepas 17,000 face shield dah dihasilkan dan diedar. Kali ni, 52 kilometer (km) panjangnya fabrik akan dijahit malam dan siang dalam memenuhi ruang masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumah anak yatim dan asnaf RPWP," ujarnya di Facebook pada Selasa.

Bercerita panjang dalam nukilannya, dia mengakui mereka semua mengorbankan rehat dan tidur demi memenuhi keperluan petugas barisan hadapan.

Tambahnya, kepenatan itu tidak dapat dibandingkan dengan dedikasi yang ditunjukkan pasukan perubatan dalam merawat Covid-19 di negara ini.

Saiful Nang merupakan pengasa bersama RPWP.

“Kami cuma terpaksa korbankan rehat dan tidur sahaja, tapi frontliner kita korbankan hidup dan nyawa mereka. Memang penat, tapi sikit sahaja nak dibanding dengan frontliner yang ada terpaksa sarung plastik sampah untuk PPE... kami sedih," ujarnya lagi.

Jelas Saiful Nang, kumpulan itu pada Isnin menerima kain fabrik non-woven yang panjangnya 52km untuk dihasilkan sebagai PPE.

Ujarnya, senarai penerima PPE juga sudah penuh dalam tempoh kurang sehari biarpun kain-kain itu masih belum selesai dipotong lagi.

Kata Saiful Nang, kepenatan mereka tidak dapat dibandingkan dengan dedikasi pasukan perubatan merawat pesakit Covid-19 di negara ini.

"Tapi tak sampai sehari dan belum habis kain dipotong, senarai penerima pula dah penuh dan Johor, Perak, Sabah, Sarawak semua masih banyak yang meminta lagi.

"Sungai Buloh sahaja perlu sehingga 7,000 set PPE sehari. Anak-anak sedih juga, ingatkan 22,000 set isolation gown dan tudung itu cukup, rupanya masih jauh dari mencukupi.

"Bagaimana kita nak biarkan perwira kita bertempur tanpa pakaian perang?" soalnya lagi.

Penghuni RPWP tidak menang tangan menyediakan PPE untuk frontliners di negara ini.

Dia turut meminta orang ramai memberi sokongan buat Projek Pelangi PPE menerusi sumbangan ke www.projekpelangi.com untuk sumbangan bagi menyediakan kelengkapan pakaian para frontliners.

"Mari kita sokong projek ini dari rumah kita sendiri, dengan apa yang kita ada. Banyak beri banyak, sikit beri sedikit. Tapi, kita sama-sama rasa, memberi untuk negara," katanya.

Saiful Nang turut berkongsi video berdurasi 2 minit 55 saat di Facebook yang memaparkan usaha gigih warga RPWP dalam menyediakan PPE.

Artikel Lain